Gagal patuh SOP: Arahan henti kerja tapak pembinaan menanti!

Gesaan henti tugas dibuat ekoran peningkatan kes penularan Covid-19 di tapak pembinaan yang mencecah 4,000 kes positif, khususnya di Lembah Klang. - Foto 123RF
Gesaan henti tugas dibuat ekoran peningkatan kes penularan Covid-19 di tapak pembinaan yang mencecah 4,000 kes positif, khususnya di Lembah Klang. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menggesa peserta industri pembinaan agar mematuhi arahan semasa dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

CIBD dalam satu kenyataannya hari ini menjelaskan gesaan itu dibuat ekoran peningkatan kes penularan Covid-19 di tapak pembinaan yang mencecah 4,000 kes positif, khususnya di Lembah Klang.

Menurutnya, situasi itu amat membimbangkan dan mengingatkan tanggungjawab semua kontraktor memastikan tapak pembinaan dan penempatan pekerja mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“CIDB akan mempergiat pelaksanaan aktiviti pemeriksaan tapak pembinaan, dan jika didapati tidak mematuhi SOP, kontraktor boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 34B(1)(c) dan Seksyen 34C(1) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520), yang mewajibkan pihak kontraktor memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan sama ada semasa atau selepas pembinaan.

“Antara tindakan yang boleh diambil oleh CIDB sekiranya pihak kontraktor gagal mematuhi SOP yang ditetapkan adalah mengeluarkan arahan berhenti kerja terhadap tapak bina tersebut," jelasnya.

Menurut CIDB, kontraktor terbabit juga akan menghadapi tindakan tatatertib yang boleh mengakibatkan mereka dikenakan penalti dan pendaftaran mereka digantung atau dibatalkan.

Sejak 20 April sehingga 17 Disember, penguatkuasa CIDB telah menjalankan 13,977 pemeriksaan yang melibatkan 7,996 tapak pembinaan di seluruh negara, katanya.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,840 (98 peratus) telah mula beroperasi, manakala 158 (dua peratus) tidak beroperasi.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah tapak yang telah beroperasi, sebanyak 7,522 (96 peratus) didapati mematuhi SOP, manakala 318 (empat peratus) didapati tidak mematuhi SOP, jelasnya.

Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, kes-kes positif Covid-19 dilihat meningkat selepas kesemua pekerja warga asing dalam sektor pembinaan di negeri yang dikenakan PKPB diwajibkan menjalani ujian RTK Antigen berdasarkan arahan MKN.

Beliau berkata, dengan pengesanan ini, kes-kes positif dan kontak rapat mereka boleh diasingkan bagi mengelakkan penularan pandemik tersebut.

"Kontraktor juga digesa mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) dalam menyediakan tempat tinggal dan kemudahan kepada pekerja.

"Pematuhan SOP bukan sahaja penting untuk mencegah penularan pandemik COVID-19, malah turut dapat mengelakkan kerugian bagi kontraktor dan juga pelanggan untuk jangka panjang,” katanya.

SOP terkini boleh dirujuk di laman web MKN https://www.mkn.gov.my/web/ms/sop-pkp-pemulihan/.

Maklumat lanjut berkenaan SOP dan Garis Panduan industri pembinaan boleh didapati menerusi Telegram rasmi CIDB Malaysia https://t.me/cidbmy, laman web rasmi CIDB di www.cidb.gov.my atau hubungi hotline CIDB di talian 03-5567 3300. - Bernama