AS luluskan Moderna sebagai vaksin kedua

Vaksin Moderna juga menggunakan teknologi mRNA yang digunakan oleh Pfizer-BioNTech. - Foto Agensi
Vaksin Moderna juga menggunakan teknologi mRNA yang digunakan oleh Pfizer-BioNTech. - Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) semalam meluluskan vaksin Covid-19, Moderna untuk kegunaan kecemasan yang akan membuka jalan untuk penghantaran enam juta dos vaksin kedua ke seluruh negara selepas ia memberi kebenaran sama kepada vaksin Pfizer-BioNTech pada minggu lalu.

Keputusan itu menjadikan AS sebagai negara pertama yang memberi kelulusan untuk penggunaan dua dos suntikan vaksin Moderna yang dihasilkan negara tersebut.

Kedua-dua vaksin Moderna dan Pfizer-BioNTech itu menggunakan teknologi mRNA dan telah menunjukkan keberkesanan yang tinggi dan memberi perlindungan kira-kira 95 peratus terhadap jangkitan Covid-19.

Dalam perkembangan berkaitan, negara miskin akan mula menerima vaksin Covid-19 pada awal tahun depan daripada kemudahan Covax untuk memastikan akses yang adil, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan rakan mereka semalam.

“Penghantaran pertama dijangka bermula pada suku pertama 2021,” kata Pakatan Vaksin Global (Gavi) dan Gabungan bagi Inovasi Persediaan Epidemik (CEPI) dalam satu kenyataan.

Menurut mereka, penghantaran bekalan vaksin untuk melindungi kakitangan perubatan yang bertugas di barisan hadapan di negara terbabit juga akan dibuat pada separuh pertama 2021.

Difahamkan, kemudahan Covax yang dikendalikan Gavi dan CEPI telah mendapat akses hampir dua bilion dos vaksin tidak termasuk vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna yang telah diberi kelulusan untuk kegunaan kecemasan di beberapa negara.

Sementara itu, WHO mengesahkan ia telah menandatangani perjanjian dengan firma farmaseutikal, Johnson & Johnson (J&J) untuk 500 juta dos vaksin selepas memeterai kontrak bersama AstraZeneca, Novavax dan Sanofi-GSK. - AFP

Artikel Berkaitan: