TUDM akan tamatkan perkhidmatan helikopter Nuri

Kerajaan memutuskan untuk menamatkan Nuri kerana kos penyelenggaraan helikopter itu semakin tinggi. - Foto Bernama
Kerajaan memutuskan untuk menamatkan Nuri kerana kos penyelenggaraan helikopter itu semakin tinggi. - Foto Bernama
A
A
A

SUBANG JAYA - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), akan menamatkan perkhidmatan kesemua helikopter Nuri dalam tempoh lima tahun, kata Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Beliau berkata, antara faktor untuk menamatkan perkhidmatan helikopter itu adalah kerana usia Nuri yang telah berkhidmat melebihi 52 tahun, dan faktor keusangan kerana kebanyakan komponen serta alat ganti sudah tidak dikeluarkan kilang.

“Pihak kerajaan telah memutuskan untuk menamatkan Nuri kerana kos penyelenggaraan helikopter itu semakin tinggi, dan membuat TUDM menghadapi kesulitan untuk meneruskan pengoperasian.

“Faktor usia dan cabaran daripada aspek senggaraan secara langsung telah mengakibatkan kos pesawat semakin tinggi dan ‘downtime’ pesawat semakin panjang, apabila berlaku kerosakan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan TUDM Tahun 2020 di Pangkalan Udara Subang dekat sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: TUDM rancang ganti Nuri

Beliau berkata, bagi penggantian Nuri, tender terbuka tempatan untuk penyewaan helikopter telah dibuka sejak 15 Oktober lepas dan ditutup semalam (17 Disember).

Ackbal berkata, proses selanjutnya adalah untuk menilai tender, sebelum diputuskan syarikat tempatan mana yang akan dianugerahkan tender berkenaan.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa TUDM akan memperoleh pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircarft (FLIT/LCA), dalam tempoh tiga tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Ackbal (dua, kiri) menyampaikan anugerah ‘Best Squadron of the Year 2020’ kepada Lt Kol Muhammad Fazri Md Zin (dua, kanan) pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Tahun 2020 di Dewan Ababil, Pangkalan Udara Subang hari ini. - Foto Bernama
Ackbal (dua, kiri) menyampaikan anugerah ‘Best Squadron of the Year 2020’ kepada Lt Kol Muhammad Fazri Md Zin (dua, kanan) pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Tahun 2020 di Dewan Ababil, Pangkalan Udara Subang hari ini. - Foto Bernama

Beliau berkata, seiring dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55), pihaknya merancang untuk memperoleh sebanyak 36 pesawat (FLIT/LCA) secara berfasa, namun ia bergantung kepada kelulusan pihak kerajaan.

“Untuk keperluan TUDM dalam perolehan FLIT/LCA, pesawat platform tunggal dwi-fungsi ini perlu memiliki keupayaan yang seimbang, dalam melaksanakan peranan untuk latihan juruterbang pesawat pejuang dan pelbagai misi operasi.

“TUDM telah memohon peruntukan dari pihak kerajaan untuk perolehan Fasa 1 sebanyak 18 pesawat, melalui pendaftaran projek baharu 2021 dan permohonan untuk perolehan Fasa 2 bagi 18 pesawat lagi akan dilaksanakan, dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” katanya.

Terdahulu, Majlis Anugerah Kecemerlangan TUDM Tahun 2020 disambut secara norma baharu dan mencatatkan kelainan dalam penganjurannya, berikutan negara dilanda krisis pandemik Covid-19. - Bernama