Pakistan luluskan hukuman pengembirian kimia perogol

Protes besar-besaran tercetus selepas insiden seorang wanita diperkosa secara bergilir-gilir di hadapan anaknya pada September lalu. - Foto: Agensi
Protes besar-besaran tercetus selepas insiden seorang wanita diperkosa secara bergilir-gilir di hadapan anaknya pada September lalu. - Foto: Agensi
A
A
A

ISLAMABAD - Pakistan meluluskan hukuman pengembirian kimia ke atas perogol sebagai sebahagian daripada undang-undang baharu antirogol yang diluluskan Presiden Arif Alvi.

"Hukuman di bawah Ordinan Antirogol 2020 tersebut akan dikenakan ke atas pesalah berulang atau pesalah seksual yang melakukan kesalahan pertama," ujar pejabat Presiden dalam satu kenyataan pada hari ini.

Sebelum ini, cadangan pengembirian kimia itu pernah disuarakan Perdana Menteri, Iman Khan yang bertujuan untuk mengurangkan keinginan seksual individu susulan insiden seorang wanita diperkosa secara bergilir-gilir di hadapan anaknya di tepi jalan selepas kereta dipandunya rosak ketika kejadian berhampiran Lahore pada September lalu.

Khan juga menegaskan pelaku yang melakukan jenayah seksual kejam juga wajar dihukum gantung di khalayak umum, namun beliau bimbang ia boleh memberi impak kepada rakan dagangan seperti negara Kesatuan Eropah (EU) yang menentang hukuman mati.

Sementara itu, aktivis hak asasi manusia memberi amaran hukuman pengembirian kimia seperti itu akan memberi kesan kepada kewajipan Pakistan dalam isu hak asasi manusia antarabangsa.

"Ia adalah hukuman yang kejam dan tidak berperikemanusiaan," kata aktivis hak asasi manusia Pakistan di Amnesty International, Rimmel Mohydin.

Semalam, Alvi meluluskan undang-undang antirogol baharu yang akan mempercepatkan sabitan dan memudahkan pendaftaran kes terhadap pesalah laku seksual di negara itu.

Undang-undang itu melarang pendedahan identiti mangsa dan mewujudkan sel antirogol di seluruh negara untuk melakukan siasatan awal dan pemeriksaan dalam tempoh enam jam selepas aduan kepada polis dibuat.

Artikel Berkaitan:

Menurut kumpulan War Againts Rape yang berpusat di Karachi, kurang daripada tiga peratus kes rogol atau serangan seksual berdepan tindakan undang-undang.

Berdasarkan data dikeluarkan kerajaan pada tahun ini, sebanyak 11 kes rogol dilaporkan pada setiap hari di Islamabad, namun pihak berkuasa percaya angka sebenar adalah jauh lebih tinggi. - AFP