X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Pembangkang sifatkan Belanjawan Perak matang, adil

Nga Kor Ming (tengah) pada sidang akhbar hari ini.
A
A

IPOH - Pakatan pembangkang Perak menyifatkan belanjawan negeri yang dibentangkan hari ini menunjukkan kematangan kerajaan dalam pentadbiran dan politik.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, terdapat beberapa intipati penting dalam kandungan belanjawan itu dicapai hasil kesepakatan yang dibuat Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad bersama 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, ia bukan sahaja bagi menjamin kepentingan rakyat tetapi bagi mencapai kestabilan politik antara kedua-dua pihak.

"Buat pertama kali dalam sejarah, PH bersama Menteri Besar Perak yang baru dilantik telah mencapai kata sepakat dalam beberapa perkara sebagai satu perubahan institusi dalam negeri ini.

"Kata sepakat itu termasuklah peruntukan sama rata sebanyak RM200,000 setahun kepada semua ADUN serta membenarkan setiap wakil rakyat termasuk pembangkang menjadi anggota Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD), Jawatankuasa Focus Group Daerah (FGD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, perkara itu antara sejarah baharu menonjolkan sisi kematangan pentadbiran Menteri Besar terutama bagi tujuan semak dan imbang.

Katanya, sebagai kerajaan yang adil dan saksama, belanjawan negeri juga telah bersetuju meminda Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri bagi memberikan pengiktirafan rasmi kepada jawatan Ketua Pembangkang dengan gaji, elaun, emolumen dan kemudahan yang munasabah.

"Ini termasuklah persetujuan meminda Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) dilantik dalam kalangan pembangkang," katanya.

ADUN Aulong itu turut bersetuju, apabila belanjawan negeri kali ini mengekalkan peruntukan bagi hal ehwal Islam dan bukan Islam serta bersedia menambah sekiranya ada keperluan.

Katanya, perkara sama juga terpakai bagi penyediaan peruntukan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), Sekolah Persendirian Cina (Suwa), mubaligh dan aliran sekolah lain.

"Ini merupakan satu perubahan positif dalam menyuburkan sistem demokrasi, bagaimanapun kita akan terus mainkan peranan secara efektif dan konstruktif dalam kerajaan.

"Jika ada berlaku mana-mana penyelewengan, kita tetap akan tegur. Itu tiada kompromi," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!