Premis jadi pusat tuisyen Rohingya beroperasi tanpa lesen

Sandrea mengarahkan MBI meneruskan pemantauan dan menjalankan pemeriksaan susulan bagi memastikan aktiviti berkenaan tidak diteruskan tanpa lesen yang sah.
Sandrea mengarahkan MBI meneruskan pemantauan dan menjalankan pemeriksaan susulan bagi memastikan aktiviti berkenaan tidak diteruskan tanpa lesen yang sah.
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengesahkan sebuah premis di Jalan Lahat di sini yang didakwa dijadikan sekolah untuk komuniti Rohingya beroperasi tanpa lesen perniagaan sah.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng berkata, siasatan dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen mendapati, bangunan tersebut dijadikan pusat tuisyen untuk komuniti berkenaan.

Menurutnya, susulan siasatan dilakukan, MBI mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 kepada pemilik premis kerana membenarkan aktiviti tersebut dijalankan.

"Notis larangan menjalankan aktiviti pusat tuisyen di premis berkenaan juga akan dikeluarkan.

"Prinsip kita jelas, sebarang aktiviti atau perniagaan yang memerlukan lesen hendaklah mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu, tanpa mengira siapa yang mengendalikannya.

"Semua pihak perlu mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau turut mengarahkan MBI meneruskan pemantauan dan menjalankan pemeriksaan susulan bagi memastikan aktiviti berkenaan tidak diteruskan tanpa lesen yang sah.

"Tindakan penguatkuasaan lanjut akan diambil sekiranya terdapat ketidakpatuhan terhadap peraturan yang berkuat kuasa," katanya.

Sandrea berkata, kes berkenaan menjadi peringatan kepada pemilik premis supaya mengambil tahu aktiviti yang dijalankan penyewa dan memastikan penggunaan premis mematuhi peraturan.

Artikel Berkaitan:

"Pemilik premis juga tidak seharusnya membiarkan sebarang aktiviti yang menyalahi peraturan terus dijalankan," katanya.

Pada Rabu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengarahkan MBI menjalankan siasatan segera terhadap dakwaan tersebut sebelum tindakan sewajarnya dilakukan.

Isu berkenaan mendapat perhatian selepas seorang lelaki membuat perkongsian video berdurasi kira-kira lima minit 24 saat di aplikasi TikTok.

Video tersebut memperlihatkan premis di tingkat atas sebuah bangunan usang yang didakwa dijadikan sekolah bagi komuniti Rohingya sejak lima tahun lalu.

Rakaman video turut memaparkan temubual bersama seorang lelaki disyaki Rohingya yang mendakwa terdapat guru yang mengajar di premis berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!