Presma sasar lebih ramai pengusaha nasi kandar miliki sijil halal

IPOH - Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menyasarkan lebih ramai pengusaha restoran nasi kandar mendapatkan sijil halal dalam tempoh lima tahun akan datang.
Presidennya, Datuk Muhammed Mosin Abdul Razak berkata, Presma mempunyai kira-kira 3,200 ahli di seluruh negara, namun sebahagian kecilnya masih belum memiliki sijil halal.
"Kita tidak boleh menjanjikan semua akan mendapatkan sijil, tetapi kita berharap lebih ramai pengusaha akan mendaftar.
"Insya-ALLAH dalam jangka masa lima tahun ini, jumlah pengusaha yang tampil memohon meningkat terutama selepas mendapat penerangan dan kefahaman yang betul mengenai kepentingan sijil halal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam Seminar Kesedaran Halal Bagi Pengusaha Restoran Nasi Kandar Negeri Perak di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), di sini pada Khamis.
Seminar dirasmikan Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim serta Pengerusi Presma Perak, Abdul Hamid Abdul Muthalif.
Muhammed Mosin berkata, antara cabaran utama untuk meningkatkan jumlah pemegang sijil halal dalam kalangan pengusaha Muslim adalah mentaliti bahawa mereka tidak memerlukannya kerana beragama Islam.
Katanya, sijil halal bukan sekadar membuktikan makanan yang dijual bebas daripada unsur haram, sebaliknya turut memberi keyakinan kepada pelanggan terhadap aspek kebersihan, kesucian dan keselamatan makanan.
"Bukan bermakna kita orang Islam, kita tidak perlu ada sijil halal. Kita perlu ubah pemikiran itu kerana sijil halal bukan semata-mata untuk orang bukan Islam, tetapi juga untuk orang Islam," katanya.
Beliau berkata, terdapat juga kebimbangan kalangan pengusaha bahawa permohonan sijil halal akan menyebabkan mereka berdepan tindakan sekiranya berlaku kesalahan kecil.
"Sebenarnya kira-kira 60 hingga 70 peratus daripada keperluan pensijilan halal sudah dipenuhi pengusaha kerana sebahagiannya mempunyai kaitan dengan syarat yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mendapatkan lesen perniagaan," katanya.
Sementara itu, seminar julung kali dianjurkan itu menghimpunkan 131 pengusaha restoran di Perak.
Muhammed Mosin berkata, Presma akan berbincang dengan jabatan agama Islam di negeri lain bagi menganjurkan program seumpama itu sebagai usaha meningkatkan kesedaran pengusaha restoran mengenai kepentingan pensijilan halal.
"Pada awalnya pengusaha menganggap proses mendapatkan sijil halal ini sukar, tetapi selepas menghadiri seminar, kebanyakan mereka lega kerana mengetahui permohonan itu tidaklah sesukar seperti yang dibayangkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

