Jerebu: Keputusan tutup sekolah di Perak akan dimaklum esok

IPOH – Keputusan penutupan sekolah di Perak pada Isnin susulan keadaan jerebu akan diumumkan petang esok selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di setiap daerah dinilai.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, pengumuman dijangka dibuat sekitar jam 2 hingga 3 petang bagi menentukan sama ada terdapat sekolah lain yang perlu ditutup pada Isnin.
Menurutnya, bacaan IPU pada Ahad akan menjadi asas kepada keputusan berkenaan, khususnya bagi daerah yang mencatatkan tahap pencemaran udara tidak sihat.
“Kalau ada lagi daerah yang mencatatkan IPU tidak sihat, sudah pastilah proses penutupan sekolah akan dilaksanakan kerana kita mahu memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid.
“Bagaimanapun, proses pembelajaran akan berjalan seperti biasa menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang telah dirangka dan disusun pihak Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN),” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyempurnakan Sambutan Hari Sukan Negara peringkat negeri di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak di sini pada Sabtu.
Semalam media melaporkan beberapa sekolah di daerah Kinta Utara, Kinta Selatan dan Kuala Kangsar diarahkan tutup susulan bacaan IPU melepasi paras 180.
Dalam perkembangan sama, Khairudin berkata, Sambutan Hari Sukan Negara peringkat negeri Perak mendapat sambutan menggalakkan walaupun keadaan cuaca kurang baik.
Menurutnya, kira-kira 3,000 hingga 5,000 peserta menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan termasuk senamrobik, acara berbasikal dan larian.
Beliau berkata, program berkenaan turut melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Katanya, penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukan dan rekreasi penting bagi meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan serta menggalakkan gaya hidup aktif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

