[VIDEO] Kes buli, dakwaan murid dipukul guru: PPD laksana prosedur ditetapkan

A
A
A

IPOH – Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah telah melaksanakan prosedur ditetapkan serta mengadakan perbincangan bersama keluarga mangsa berhubung kes buli serta dakwaan murid dipukul guru yang berlaku di Chemor dan Pengkalan Hulu.

Khairudin (kiri) turut serta dalam acara Fun Walk sempena Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak, pada Sabtu.
Khairudin (kiri) turut serta dalam acara Fun Walk sempena Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak, pada Sabtu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, kedua-dua kes berkenaan bagaimanapun diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut susulan laporan yang dibuat pihak terbabit.

Menurutnya, difahamkan tiga laporan polis telah dibuat berhubung kes di Chemor termasuk laporan oleh guru yang terlibat.

“Dari segi proses yang perlu dilaksanakan oleh PPD dan Jabatan Pendidikan semuanya telah dilaksanakan.

“Saya difahamkan juga telah berlangsung majlis permuafakatan antara PPD, pihak sekolah dan keluarga mangsa serta ada jalan penyelesaian,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas mewakili Menteri Besar Perak menyempurnakan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak di sini pada Sabtu.

Khairudin berkata, pihaknya tidak mahu mengulas lanjut mengenai dakwaan berkenaan memandangkan siasatan polis masih berjalan, termasuk berhubung laporan terbaharu yang dibuat pada Oktober sedangkan kejadian didakwa berlaku pada Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, pihak sekolah telah melaksanakan prosedur pelaporan 1-3-7 yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selain mengadakan perbincangan bagi mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan.

Katanya, keutamaan ketika ini adalah memastikan kebajikan dan keselamatan murid terpelihara supaya mereka dapat meneruskan pembelajaran dalam suasana aman serta menduduki peperiksaan dengan baik.

Pada 5 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan seorang ibu tunggal mendakwa dua anak lelakinya masing-masing menjadi mangsa buli dan kekerasan membabitkan pelajar serta guru di sebuah sekolah di Chemor di sini.

Noor Azwani Ahamad, 43, berkata, laporan polis pertama dibuat pada 4 Ogos lalu membabitkan anak sulungnya, manakala laporan kedua dibuat pada 6 Ogos lalu membabitkan anak keduanya.

Menurut wanita itu, selepas berasakan tiada tindakan memuaskan berhubung laporan berkenaan, laporan polis berkaitan kedua-dua anaknya dibuat semula pada 3 Oktober lalu.

Sementara itu mengulas kes seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang didakwa dihentak di kepala di Pengkalan Hulu, Khairudin berkata, pihak sekolah dan PPD berkaitan turut melaksanakan prosedur ditetapkan serta mengadakan perbincangan dengan pihak keluarga.

Bagaimanapun, katanya, laporan polis yang dibuat menunjukkan masih terdapat perkara yang tidak memuaskan hati pihak tertentu berhubung penyelesaian yang dicapai.

“Pihak sekolah mempunyai SOP (prosedur operasi standard) yang perlu dipatuhi bagi sebarang kejadian membabitkan keselamatan dan kesejahteraan murid.

“Apabila laporan polis dibuat, perkara itu diserahkan kepada polis untuk siasatan. Jika terdapat sebarang pelanggaran, pihak polis akan mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Pada 2 Oktober lalu, media melaporkan seorang murid berusia 11 tahun didakwa dipukul oleh gurunya di sebuah sekolah di Pengkalan Hulu.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!