Khutbah Jumaat di Perak ingatkan hukuman dilaksana tanpa pilih kasih

SHAH ALAM - Keadilan dalam Islam berteraskan kebenaran mesti dilaksanakan kepada semua pihak tanpa pilih kasih, sekalipun melibatkan individu berkedudukan, berpengaruh dan mempunyai hubungan kekeluargaan serta persahabatan.
Menerusi teks Khutbah Jumaat bertajuk Keadilan Berteraskan Islam: Menyempurnakan Hukuman Tanpa Pilih Kasih yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada Jumaat, jemaah diingatkan bahawa keadilan adalah tuntutan iman dan wajib dilaksanakan.
"Keadilan dalam Islam bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya yang benar, atau menunaikan hak kepada yang berhak berpandukan al-Quran dan sunnah.
"Islam tidak membezakan keadilan berdasarkan darjat, jawatan, kedudukan, harta kekayaan atau pengaruh manusia, termasuk hubungan kekeluargaan atau persahabatan," menurut teks khutbah tersebut.
Menurut teks itu lagi, Rasulullah SAW menegakkan keadilan secara saksama dalam semua perkara dan kepada sesiapa juga dan z
Ujarnya, salah satu penyakit yang boleh merosakkan masyarakat atau memberi kesan buruk kepada perundangan negara apabila berlakunya pilih kasih atau sikap menyebelahi keluarga atau pihak tertentu dalam perkara berkaitan hukuman.
"Amat mendukacitakan apabila berlaku keadaan, pihak yang bersalah tidak lagi dilihat bersalah, sebaliknya disanjung, atau mentafsirkan dia hanya melakukan kesalahan kecil, meskipun sebenarnya dia telah sahih terbukti dan dihukum kerana telah melakukan kesalahan besar.
"ALLAH SWT melarang perbuatan menolong atau bersubahat dengan perkara mungkar sebagaimana firman-NYA dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu tolong menolong dalam berbuat dosa (maksiat) dan pencerobohan".
"Masyarakat akan mempertikaikan ketelusan perlaksanaan undang-undang apabila mendapati kesalahan orang biasa dihukum dengan tegas, tetapi dilindungi atau diringankan hukuman pada kesalahan orang yang berpengaruh dan orang yang berjawatan tinggi," katanya.
Jelas teks itu lagi, negara boleh menuju kehancuran apabila orang yang lemah dipaksa mematuhi peraturan, sedangkan orang yang mempunyai kuasa dan berpengaruh diberikan pengecualian atau keistimewaan.
Lebih buruk katanya, apabila jawatan dan tanggungjawab diberikan bukan kerana amanah dan kelayakan tetapi kerana hubungan rapat atau jalinan kekeluargaan akan mengakibatkan keadilan dicemari dan kepercayaan turut dikhianati.
"Kesimpulannya, keadilan yang berteraskan Islam perlu dilaksanakan kepada semua orang tanpa berkecuali.
"Melaksanakan keadilan bukan hanya tanggungjawab hakim atau pemerintah, tetapi merupakan tanggungjawab setiap Muslim dan setiap daripada kita wajib berlaku adil dalam semua perkara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

