Guna Rifel AK47 tembak mati dua gajah

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (kiri) menunjukkan peluru jenis 12 Bore dan senapang jenis Rifel AK47 yang dipercayai pernah digunakan untuk menembak mati dua gajah liar di Kampung Bahagia, Kuala Krai, dua tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (kiri) menunjukkan peluru jenis 12 Bore dan senapang jenis Rifel AK47 yang dipercayai pernah digunakan untuk menembak mati dua gajah liar di Kampung Bahagia, Kuala Krai, dua tahun lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Sepasang suami isteri ditahan kerana memiliki senapang jenis Rifel AK47 bersama 142 peluru yang dipercayai pernah digunakan untuk menembak mati dua ekor gajah liar di Kampung Bahagia, Kuala Krai pada dua tahun lalu.

Pasangan yang masing-masing berusia 50 tahun itu ditahan pada jam 3.10 pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, hasil maklumat awam, sepasukan anggota D9 dan D8 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan melakukan serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bahagia di daerah Kuala Krai.

“Hasil pemeriksaan menemui selaras Rifel AK47 bersama kelopak, 142 peluru hidup jenis 12 Bore dan 5.56 milimeter (mm).

“Suspek lelaki mengaku memiliki senapang itu untuk menjaga tanamannya dan pernah digunakan untuk menembak mati dua ekor gajah liar yang mengganggu di kebun getahnya seluas 14.8 ekar,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Senapang jenis Rifel AK47 bersama 142 peluru yang dirampas.
Senapang jenis Rifel AK47 bersama 142 peluru yang dirampas.

Beliau berkata, suspek dipercayai memperoleh senjata api itu hasil pemberian seorang rakan yang dikenali dan tinggal di daerah berhampiran.

“Berdasarkan keterangannya senjata api itu diperoleh lima tahun lalu dan kali terakhir digunakan untuk menembak mati dua gajah tersebut dua tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Selepas kejadian itu, kebunnya sudah tidak diganggu gajah dan suspek ditahan bagi membantu siasatan kerana memiliki senjata api tanpa lesen manakala rakannya yang memberi senjata itu kini giat dikesan polis,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula Ahad 13 Disember lalu sehingga Sabtu 19 Disember ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

“Sabit kesalahan Seksyen 8 boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dah sebat bermula enam kali, manakala Seksyen 8 (a) boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya.