X

Kindly register in order to view this article
!

Uji vaksin Covid-19 secara klinikal, pastikan selamat

Mohideen Abdul Kader
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Persekutuan lebih berhati-hati dan telus berhubung pembelian vaksin daripada syarikat farmaseutikal, Pfizer dalam usaha menangani pandemik Covid-19.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, vaksin itu perlu diuji secara klinikal agar selamat dan berkesan sebelum digunakan di negara ini.

Menurutnya, pihaknya bimbang kesan vaksin berkenaan terutama kepada golongan berisiko seperti warga emas, kanak-kanak dan mereka yang berpenyakit kronik.

“Kami mengalu-alukan syarat digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi pemerolehan dan penggunaan vaksin berkenaan, termasuk memantau keberkesanan vaksin ke atas kumpulan berisiko tinggi, menilai keberkesanan dan kesan sampingan.

"Di Amerika Syarikat, proses kelulusan pemasaran dipendekkan disebabkan keperluan segera untuk mendapatkan vaksin tersebut. Komuniti saintifik telah menyuarakan kebimbangan berhubung perkara ini kerana kebiasaan, penghasilan vaksin mengambil masa dan proses yang panjang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, CAP bimbang sekiranya vaksin Covid-19 itu dihasilkan secara terburu-buru oleh syarikat farmaseutikal berkenaan.

“Data penghasilan vaksin itu dibuat oleh syarikat farmaseutikal sendiri yang sudah pasti bermatlamatkan keuntungan. KKM perlu jalankan kajian mengenai kesan jangka panjang serta kesan sampingan kepada pengguna," katanya.

Pada 27 November lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan menandatangani perjanjian pembelian awal vaksin dengan Pfizer bagi membolehkan negara ini mendapatkan 12.8 juta dos bekalan.

Namun, seramai enam individu dilaporkan meninggal dunia dalam fasa terakhir ujian klinikal vaksin Covid-19 yang dibangunkan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS) itu bersama rakan niaganya dari Jerman, BioNTech.

Media Australia The New Daily melaporkan perkara itu yang didedahkan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) beberapa jam selepas United Kingdom (UK) menjadi negara pertama melaksanakan penggunaan vaksin berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, pihaknya turut menghantar surat berhubung kebimbangan itu termasuk saranan CAP kepada KKM dan Kementerian Sains dan Teknologi.

“Vaksin ini juga perlu mendapat kelulusan dan didaftarkan Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (USFDA) serta Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum dibekalkan kepada orang awam,” katanya.

Menurutnya, perjanjian pembelian vaksin antara kerajaan dan syarikat farmaseutikal perlu didedahkan kerana melibatkan berbilion ringgit.

“Wang pembayar cukai akan digunakan untuk membeli vaksin ini, sekiranya liabiliti harus ditanggung kerajaan maka rakyat sudah pasti membayar sekali lagi dan pertaruhkan nyawa serta kesihatan mereka.

"Sekiranya kerajaan bersetuju mengecualikan Pfizer dan syarikat lain daripada liabiliti membabitkan kesan sampingan, undang-undang domestik perlu digubal untuk menangani perkara ini, memandangkan ia bukan kebiasaan di bawah undang-undang sivil dan jenayah,” katanya.

Selain itu, CAP turut menggesa kerajaan menyokong saranan Afrika Selatan dan India di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk mengetepikan pelaksanaan beberapa peruntukan dalam perjanjian hak cipta intelektual, iaitu Perjanjian TRIPs bagi teknologi dan produk perubatan Covid-19.

“Dengan ketiadaan klausa TRIPs, negara-negara terbabit mempunyai keupayaan menangguhkan pelaksanaan dan penguatkuasaan hak cipta intelektual sehingga pengurusan Covid-19 dicapai. Ini memberi ruang kepada negara-negara untuk bekerjasama dalam penyelidikan, pembangunan dan pengeluaran, serta meningkatkan dan membekalkan peralatan berkaitan. Peningkatan dalam pengeluaran vaksin, ubatan dan diagnostik akan menghasilkan persaingan lebih sihat, menurunkan harga dan mudah diperoleh,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!