Bandar baharu Masjid Tanah akan dibangunkan dalam RMK12: Mas Ermieyati

Mas Ermieyati (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan, wang tunai dan basikal kepada pelajar terbaik Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK), Adam Darwish Abdullah (dua dari kanan) pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar UPKK 2019 Parlimen Masjid Tanah hari ini. - Foto Bernama
Mas Ermieyati (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan, wang tunai dan basikal kepada pelajar terbaik Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK), Adam Darwish Abdullah (dua dari kanan) pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar UPKK 2019 Parlimen Masjid Tanah hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Kawasan Parlimen Masjid Tanah bakal mempunyai sebuah bandar baharu yang akan dibangunkan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara dan Lendu di sini sekiranya cadangan itu diluluskan menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, pelbagai infrastruktur akan dibangunkan antaranya Masjid Tanah Bypass yang melibatkan naik taraf jalan satu lorong kepada dua lorong bermula dari Simpang Ayer Molek hingga ke Solok Duku.

"Perancangan ini telah dibawa kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali dan beliau bersetuju untuk menyenaraikan projek ini dalam RMK12 bagi permohonan peruntukan daripada kerajaan pusat.

"Kedua-dua projek ini penting bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, terutama pada musim cuti di pekan Masjid Tanah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Ujian Penilaian Kelas Agama dan Fardu Ain (UPKK) 2019 Peringkat Parlimen Masjid Tanah melibatkan 315 penerima di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah tersebut juga berkata, beliau akan terus memastikan anak-anak di kawasan Parlimennya terus mendapat pendidikan yang sempurna menerusi pelaksanaan beberapa inisiatif tahun depan.

"Antara inisiatif tersebut ialah kelas tuisyen kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama namun ia tertangguh tahun ini susulan penularan Covid-19.

"Pada masa akan datang kita akan melihat pendekatan program ini menerusi medium dalam talian agar anak-anak terlibat dapat terus mengikuti program tuisyen sekiranya pandemik itu masih berpanjangan," katanya.

Katanya, usaha itu juga akan mengambil kira kekangan lain yang mungkin dihadapi pelajar untuk mengikuti tuisyen dalam talian khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan tidak mempunyai akses jalur lebar yang baik atau tidak mampu membeli peranti seperti komputer riba. - Bernama

Artikel Berkaitan: