X

Kindly register in order to view this article
!

Panel penasihat FDA beri lampu hijau

AS dijangka mengikut jejak langkah UK dan Kanada meluluskan vaksin dihasilkan Pfizer-BioNTech untuk kegunaan kecemasan. - Foto Agensi
A
A

WASHINGTON - Sebuah panel penasihat luar kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) semalam meluluskan vaksin Covid-19 dihasilkan Pfizer-BioNTech untuk kegunaan kecemasan dengan keputusan 17-4 undi sokongan.

Susulan keputusan itu, FDA dijangka memberi kelulusan berhubung penggunaan vaksin tersebut di AS yang terjejas teruk akibat pandemik itu dalam tempoh beberapa hari akan datang sebelum ia mula diedarkan dan program vaksinasi dilancarkan.

Panel terbabit turut membincangkan tentang kebimbangan yang disuarakan banyak pihak berhubung dua laporan tindak balas alergi yang serius membabitkan individu yang diberi suntikan di United Kingdom (UK) dan saranan kepada ibu hamil memandangkan mereka tergolong dalam kumpulan pertama di bawah program vaksinasi tersebut.

Menurut FDA, data tidak mencukupi untuk menyokong atau menolak penggunaan vaksin itu terhadap ibu hamil dan mereka mengesyorkan supaya golongan tersebut membuat keputusan sendiri dengan mendapatkan nasihat daripada doktor.

Ahli virologi daripada Mayo Clinic di Rochester, Minnesota, Dr Gregory Poland yang pernah berkhidmat selama dua penggal sebagai panel penasihat FDA berkata, beliau terkejut kerana penasihat tidak memberi peringatan tambahan kepada ibu hamil.

ARTIKEL BERKAITAN: UK beri amaran individu alahan serius elak ambil vaksin Covid-19

Enam maut ujian percubaan vaksin Pfizer/BioNTech

Selain itu, dokumen disediakan FDA menjelang mesyuarat itu juga tidak menyatakan tentang isu keberkesanan atau keselamatan yang jelas menunjukkan AS mungkin akan mengikut jejak langkah UK dan Kanada untuk meluluskan vaksin tersebut.

Terdahulu, Pesuruhjaya FDA, Steve Hahn memaklumkan agensi tersebut mengkaji kesemua data tentang vaksin Pfizer-BioNTech itu dengan teliti termasuk potensi reaksi alergi.

“Jika ia diluluskan, label vaksin itu akan mengandungi butiran siapa yang disarankan untuk mendapatkan suntikan dan sebaliknya,” jelasnya.

Bulan lalu, Pfizer dan BioNTech memberitahu pengambilan dua dos suntikan vaksin tersebut adalah 95 peratus berkesan untuk mencegah Covid-19 dan ia juga menunjukkan vaksin tersebut memberikan perlindungan sebelum sukarelawan diberikan suntikan dos kedua.

Dokumen itu juga mendedahkan data keselamatan termasuk membabitkan kes Bell’s palsy atau lumpuh saraf muka dan tindak balas lain termasuk demam, keletihan dan tubuh menggigil.

Rabu lalu, pengawal selia kesihatan di UK menasihatkan individu yang mempunyai rekod anafilaksis atau tindak balas alahan yang teruk terhadap ubat atau makanan supaya tidak mengambil suntikan vaksin tersebut. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!