X

Kindly register in order to view this article
!

Petani India gugat Modi

Beberapa petani membakar patung Perdana Menteri India, Narendra Modi bagi menunjukkan kemarahan tentang pelaksanaan undang-undang baru pertanian di Amritsar, Punjab baru-baru ini. - Foto AFP
A
A

NEW DELHI - Pentadbiran Perdana Menteri India, Narendra Modi berdepan peningkatan tunjuk perasaan petani-petani negara itu kerana tidak berpuas hati dengan undang-undang baharu pertanian yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Sejak dua minggu lalu, ratusan ribu para petani melancarkan tunjuk perasaan di pinggir Delhi kira-kira hampir dua minggu lalu termasuk menyekat lebuh raya penting ke ibu kota negara itu.

Kebanyakan mereka menunjukkan rasa tidak puas hati dengan undang-undang itu yang diluluskan di Parlimen India pada September lalu sehingga ada yang berkhemah di pinggir New Delhi.

Pasukan polis pula menghalang para penunjuk perasaan itu daripada memasuki ibu kota India dan terpaksa melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air ke arah mereka pada Khamis dan Jumaat lalu.

Tembakan gas pemedih mata dan meriam air dilakukan kerana menurut seorang pegawai kanan polis dari negeri Haryana yang menempatkan New Delhi iaitu Manoj Yadav seperti dilaporkan oleh CNN berkata, para petani itu membaling batu ke arah anggota-anggota polis dan merosakkan harta benda awam.

Menurut laporan CNN juga, Modi menyatakan bahawa undang-undang tersebut akan membolehkan para petani menjual hasil produk mereka mengikut harga mereka sendiri selain menjual secara langsung kepada perniagaan swasta seperti rangkaian pasar raya.

Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah India pernah menegaskan bahawa undang-undang itu akan menyebabkan para petani memperoleh harga jualan produk pertanian yang lebih baik.

BJP juga menyatakan melalui dasar baharu itu, para petani akan dibebaskan daripada penglibatan orang tengah yang menguasai perdagangan dalam bidang pertanian.

Justeru, kerajaan berharap, undang-undang tersebut akan memberikan pendapatan sebanyak dua kali ganda kepada petani-petani India menjelang tahun 2022.

Bagaimanapun, tindakan itu telah mencetuskan kemarahan para petani India yang mendakwa undang-undang baharu tersebut akan menjadikan mereka miskin dan memudahkan syarikat-syarikat swasta mengeksploitasi para pekerja pertanian.

Menurut bancian yang dilakukan pada tahun 2011, para pekerja pertanian di negara itu mewakili lebih separuh daripada 480 juta tenaga kerja di negara tersebut.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula, India mempunyai lebih 1.3 bilion penduduk pada pertengahan tahun ini dan mewakili 17.7 peratus daripada penduduk dunia.

Di India, para petani pada kebiasaannya menjual produk di pasar-pasar berdaftar dengan kerajaan tempatan sekali gus memastikan mereka mendapat harga minimum.

Di bawah undang-undang lama, para petani akan menjual hasil-hasil pertanian mereka pada lelongan di negeri-negeri masing-masing melalui Jawatankuasa Pasar Penghasilan Pertanian.

Melalui cara itu, mereka dijamin akan mendapat harga minimum produk pertanian yang dipersetujui oleh kerajaan.

Namun, undang-undang baharu itu menghapuskan struktur jawatankuasa tersebut sekali gus membolehkan para petani menjual hasil pertanian mereka kepada sesiapa pada sebarang harga.

Para petani juga mempunyai kebebasan untuk menjual secara terus kepada pembeli secara langsung dan menjualnya ke negeri-negeri lain.

Bagaimanapun, mereka dilaporkan menyatakan undang-undang baharu itu mampu menyebabkan syarikat-syarikat besar menurunkan harga ketika membeli produk pertanian.

Para petani juga bimbang jika mereka terpaksa bergelut dengan tawaran harga rendah apabila terdapat terlalu banyak bekalan hasil pertanian berada di pasaran.

Lebih 450 persatuan dan pertubuhan petani menyokong tunjuk perasaan itu baru-baru ini sehinggakan ada petani sanggup tidur di dalam traktor dan mandi di tepi jalan raya manakala polis di seluruh negeri di India dikerah supaya mengawal situasi yang tidak menyenangkan itu.

Sehingga semalam, penyelesaian terhadap isu itu masih belum dicapai apabila rundingan antara persatuan-persatuan petani dengan Menteri Dalam Negeri, Amit Shah gagal memecahkan kebuntuan terhadap isu tersebut.

Pertemuan kali keenam dengan Menteri Pertanian, Narendra Singh Tomar yang dijadualkan berlaku pada hari Rabu lalu bagi mencari penyelesaian terhadap isu itu juga terpaksa dibatalkan selepas para pemimpin petani enggan menghadirinya.

Tunjuk perasaan itu pada awalnya bermula pada Ogos lalu di negeri Punjab dan Haryana sebelum sebahagian besar petani berarak ke Delhi pada November lalu.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau baru-baru ini turut memberikan sokongan kepada tunjuk perasaan para petani itu.

Trudeau mengkritik tindakan polis yang memerangi tunjuk perasaan petani-petani itu menerusi Twitternya dan menyatakan mereka sepatutnya dibenarkan berdemonstrasi secara aman.

Parti-parti pembangkang India turut menyokong protes tersebut sehingga mendapat kecaman daripada BJP.

Bagaimanapun, tunjuk perasaan itu, seperti kata majalah Time, menunjukkan kerajaan pimpinan Modi yang popular di India bergelut dengan masalah dalam negara selepas undang-undang pertanian tersebut berjaya diluluskan di Parlimen India.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!