PBAPP sila bayar RM50 juta setahun sebelum komen: MB Kedah

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dituntut membayar RM50 juta setahun kepada kerajaan Kedah bagi caj air mentah dari negeri ini sebelum mengeluarkan sebarang maklum balas tentang bekalan air di Kawasan Ulu Muda.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perbadanan tersebut berjaya menjana keuntungan hasil air mentah yang mengalir dari kawasan negeri ini untuk digunakan di kawasan industri dan sektor perkapalan di Pulau Pinang.

Menurutnya, bagaimanapun PBAPP tidak pernah membayar caj sumber air mentah yang digunakan kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) walaupun pihaknya telah menuntut beberapa kali sebelum ini.

"Sebagai rekod, Pulau Pinang menggunakan 1.1 juta liter padu sehari daripada Sungai Muda berbanding Kedah yang menggunakan 800,000 liter padu.

"PBAPP jana keuntungan daripada Sungai Muda. Pulau Pinang tak bayar nilai air mentah ini, tapi buat untung. Dia datang ajar kita apa yang kita boleh buat, apa yang kita tak boleh buat.

"Jadi jika tidak boleh bayar, tidak perlu komen itu, nasihat saya. Bukan kita nak cari gaduh tapi sebab dia komen kita kena buat kenyataan balas," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) Jaseni Maidinsa pada Isnin berkata, kelulusan perlombongan berskala besar di Ulu Muda akan membahayakan bekalan air di tiga negeri di utara Malaysia melibatkan 4.2 juta orang pengguna.

Muhammad Sanusi berkata, sebagai kerajaan, pihaknya sedar apa yang perlu dilakukan dan tidak perlu dilakukan dalam menjaga bekalan air di Kedah dan juga negeri-negeri jiran yang menumpang air dari tadahan di kawasan Ulu Muda.

Artikel Berkaitan:

"Apa-apa aktiviti di Ulu Muda akan diambil kira demi kepentingan rakyat dan negeri ini. PBAPP tidak payah bimbang.

"Kebimbangan saya kini adalah mereka ambil sumber air dari kita, mereka meniaga dan tidak bayar apa-apa. Saya rasa ini tidak patut.

"Kita dah buat tuntutan kepada Pulau Pinang, 1 meter padu sebanyak 10 sen. Kita banyak kali tuntut sejak tahun 2010 tapi tidak ada jawapan," katanya.