Melaka tidak iktiraf Sijil UEC

Noor Effandi ketika ditemui pemberita pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga DUN Melaka ke-14, di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.
Noor Effandi ketika ditemui pemberita pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga DUN Melaka ke-14, di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka tidak mengiktiraf atau mewartakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) biarpun pentadbiran kerajaan bertukar selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Exco di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal, Vokasional, Sains dan Inovasi), Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, perkara itu bertepatan dengan surat pekeliling kerajaan yang tidak pernah diubah sehingga sekarang.

Menurutnya, biarpun ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pernah melantik seorang lepasan sijil UEC untuk menjawat jawatan terpenting di salah sebuah agensi kerajaan negeri namun pengiktirafan itu tidak pernah diwartakan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Katanya, menerusi bahagian Pusat Sumber Manusia juga tidak mengiktiraf sijil UEC memandangkan kerajaan tidak pernah mengubah pekeliling sedia ada yang berkaitan dengan syarat kemasukan sebagai penjawat awam sama ada bagi penjawatan di kerajaan negeri mahupun kerajaan Persekutuan.

"Ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, Ketua Menteri, Adly Zahari menyatakan bahawa kita membuka peluang untuk menerima mereka yang mempunyai sijil UEC berkhidmat di Melaka.

"Namun dia tidak pernah membawa perkara itu ke Mesyuarat MMKN, maknanya ia hanya diisytihar dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Julai 2018 tanpa sebarang tindakan susulan oleh pihak kerajaan negeri," katanya.

Noor Effandi (Bersatu-Telok Mas) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Md Rawi Mahmud (BN-Tanjung Bidara) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga DUN Melaka ke-14, di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Sebelum ini Adly pernah mempertahankan tindakan kerajaan negeri mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai antara syarat bagi pengambilan penjawat awam di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan, keputusan itu dibuat bagi membela semua nasib anak Melaka tanpa mengira kaum untuk bersama-sama menikmati arus pembangunan negeri, selaras manifesto Pakatan Harapan (PH) Melaka pada PRU14 lalu.

Noor Effandi yang kemudian ditemui pemberita berharap isu UEC tidak terus dipolitikkan oleh mana-mana pihak agar tidak berlaku masalah rasisme yang boleh menggugat keharmonian negara.