X

Kindly register in order to view this article
!

Hampir setahun Covid-19 melanda

Jemaah menunaikan solat Jumaat dalam norma baru apabila diletakkan dalam jarak satu meter antara satu sama lain selain memakai pelitup muka.
A
A

PANDEMIK Covid-19 belum menemui titik noktahnya. Walaupun Malaysia sudah membeli 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada syarikat Pfizer yang berpangkalan di Amerika Syarikat baru-baru ini, ia bukanlah jaminan wabak maut itu akan berakhir serta-merta.

Namun, diam tak diam, rupa-rupanya sudah hampir setahun rakyat Malaysia dan penduduk dunia berperang dengan musuh yang tidak dapat dilihat itu.

Menoleh ke belakang, di sebalik kepayahan, ada hikmah yang tidak boleh dinafikan.

Sejak tercetusnya Covid-19 di Malaysia, ramai yang terkesan. Bukan hanya golongan dewasa, bahkan anak kecil juga merasainya.

Semuanya terbatas. Aktiviti harian perlu dilakukan dalam norma baharu.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr Ismail Ibrahim, sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula bagi mengekang penularan Covid-19, maka mulailah timbul pemikiran pemerintah dan rakyat untuk menggubal wawasan dalam bentuk prosedur operasi standard (SOP) tertentu yang seharusnya menjadi norma baharu ketika menghadapi pandemik tersebut.

Kita juga harus menyusun langkah yang praktikal untuk menghadapinya.

Kita juga harus memahami bahawa norma baharu yang kita maksudkan adalah kebiasaan baharu yang termasuk dalam istilah kebijaksanaan untuk melakukan perubahan dinamik dari segi kualiti, cara berfikir dan cara bertindak.

Covid-19 menyekat banyak kebiasaan lama, menghalang perilaku sebelumnya, maka kebijaksanaan baharu bukan bererti kembali kepada cara lama secara menyeluruh tanpa memikirkan dari segi kualiti, kesejahteraan dan menjauhkan kebiasaan lama yang tidak sealiran dengan keyakinan diri, mutu etika, ajaran agama dan budaya.

Berniaga

Walaupun vaksin Covid-19 sudah ditemui, namun SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dipatuhi.

Banyak negeri dan kawasan yang berdepan dengan peningkatan kes, namun aktiviti harian perlu diteruskan.

Masih segar dalam ingatan, ketika PKP dilaksanakan pada Mac lalu, betapa hanya Tuhan yang tahu rumitnya keadaan itu.

Peniaga terjejas, individu bekerja sendiri cuma mampu menggigit jari sepanjang tempoh tiga bulan.

Bayangkan keadaan mereka yang sebelum ini kais pagi makan pagi kais petang makan petang boleh diibaratkan diluah mati bapak ditelan mati emak.

Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, sebelum penula-ran Covid-19 di Malaysia, ada sahaja peniaga kecil dan penjaja yang berniaga. Pelbagai jenis barangan mudah diperoleh.

Namun, Covid-19 menyebabkan peniaga dan penjaja termasuk golongan yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan terjejas teruk dan ada yang terpaksa menutup perniagaan.

SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara telah merencatkan pergerakan mereka dan juga pelanggan.

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia menganggarkan lebih 53 peratus atau kira-kira 450,000 usahawan Melayu daripada keseluruhan seramai 960,000 orang yang berdaftar dengan SME Corp terjejas susulan Covid-19 dan tak akan mampu bertahan lebih dua bulan tanpa bantuan kerajaan.

Di Malaysia, sektor perniagaan kecil adalah salah satu sektor yang paling terkesan secara langsung disebabkan PKP.

Bagi peniaga yang mempunyai modal yang agak besar dan kukuh masih mampu menjalankan pernia-gaan kerana langkah PKP, PKPB, dan PKPD mampu ditangani dengan mencari alternatif baharu untuk menjual barangan mereka.

Ada peniaga yang menggunakan kuasa tular di WhatsApp, Instagram dan Facebook untuk melariskan jualan mereka dengan memberi perkhidmatan tambahan iaitu penghantaran kepada pelanggan di kawasan tertentu.

Ada juga menggunakan perkhidmatan Pos Laju dan pelbagai lagi.

Setelah hampir setahun Malaysia berdepan Covid-19, ada peniaga yang sangat berani, kreatif, sabar dan bijak mengadaptasi situasi semasa sebagai peluang untuk meningkatkan hasil jualan seterusnya mengembangkan perniagaan.

Namun, golongan berkenaan tidak ramai. Mereka hanyalah minoriti.

Kesimpulannya untuk menjadi peniaga berjaya ketika pandemik Covid-19, peniaga kecil dan penjaja perlu mahir dengan kemahiran digital. Kelemahan dalam menguasai ilmu digital akan menyebabkan mereka akan ketinggalan.

*Syahidatul Akmal Dunya ialah wartawan Edisi Nasional Sinar Harian


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!