Covid-19: Kes positif melonjak kepada 1,600

DR NOOR HISHAM
DR NOOR HISHAM
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kes baharu positif Covid-19 kembali melonjak kepada 1,600 kes, lapor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 meningkat kepada 74,294 kes.

"Jumlah kes aktif pula 11,604 kes," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Negeri Sembilan melaporkan jumlah kes harian tertinggi iaitu 541 kes, diikuti Selangor 426 kes dan Sabah 248 kes.

"Lonjakan kes di Negeri Sembilan adalah disebabkan oleh pertambahan kes dalam Kluster Bakti iaitu 500 kes (92.4 peratus) daripada jumlah kes keseluruhan di negeri tersebut.

"Kes-kes ini adalah terasing di dalam kawasan penjara," katanya.

Beliau berkata, selain tiga negeri tersebut, Kuala Lumpur merekodkan 148 kes, Johor (98), Pulau Pinang (55), Perak (54) dan Kedah 18 kes.

"Labuan mencatatkan lima kes, Kelantan (3), Sarawak (2), Pahang dan Melaka masing-masing satu kes," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, tiada sebarang kes direkodkan di Terengganu, Putrajaya dan Perlis.

"Secara keseluruhan, 584 kes yang dilaporkan adalah berkaitan dengan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster Bakti 500 kes, Kluster Tembok (49), Kluster PTS Sibuga (17), Kluster Penjara Seberang Perai (8), Kluster Matambai (7), Kluster Penjara Jalan Harapan (2), dan Kluster GK Tawau satu kes.

"Terdapat 129 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 57 memerlukan bantuan pernafasan. Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian Covid-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatifnya adalah 384 kes," katanya.

Berdasarkan ringkasan kes kematian, kedua-dua kes dilaporkan di Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Semporna, Sabah di mana pesakit wanita dan lelaki berusia masing-masing 76 serta 59 tahun mempunyai latar belakang penyakit lain.

Sementara itu, KKM turut merekodkan 1,033 kes pulih sepenuhnya dari Covid-19.

"Jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah 62,306 kes iaitu 83.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.