X

Kindly register in order to view this article
!

PKPB di beberapa negeri ditamatkan, elak impak ekonomi

Ismail Sabri
A
A

KUALA LUMPUR - Susulan pengurangan kes jangkitan Covid-19 di beberapa negeri, kerajaan hari ini membuat keputusan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa buah negeri.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu dilakukan setelah mempertimbangkan impak semasa dan jangkaan kesan terhadap pemulihan ekonomi yang terpaksa dihadapi sekiranya PKPB terus dilaksanakan.

“Dijangkakan KDNK negara akan kerugian sebanyak RM300 juta sehari jika PKPB terus dilaksanakan dan ini sekali gus akan mengakibatkan kemerosotan pasaran buruh dan penurunan perbelanjaan isi rumah, peningkatan ketidaktentuan pelaburan, kehilangan pekerjaan tetap, penutupan perniagaan dan kesan lain sama ada secara langsung atau tidak.

“Oleh sebab itu, kerajaan berhati-hati dan perlu mempertimbangkan semua aspek dalam merangka sebarang pendekatan bagi mewujudkan keseimbangan antara menjaga kesihatan awam dan kesan terhadap ekonomi,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Berikut adalah negeri yang ditamatkan PKPB esok seperti yang dijadualkan:

* Pulau Pinang kecuali Mukim 12 (Barat Daya), Mukim 13 (Timur Laut), manakala Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Flat Jalan Paya Terubong, Relau dan Flat di Desa Bistari, Batu Uban bermula 7 Disember hingga 20 Disember.

* Perak kecuali bagi daerah Kinta serta Mukim Teja (daerah Kampar) dan Mukim Changkat Jong (daerah Hilir Perak) yang akan diteruskan PKPB bermula 7 Disember sehingga 20 Disember, manakala PKPD di Zon B dan Zon C Taman Meru 2C, Ipoh, Perak ditamatkan hari ini berbanding 10 Disember yang dijadual sebelum ini.

- PKPD di Depot Tahanan Imigresen Langkap berserta Kuarters, Hilir Perak berkuat kuasa 6 Disember sehingga 19 Disember.

* Kelantan kecuali bagi daerah Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas yang akan disambung PKPB dari 7 Disember hingga 20 Disember, manakala Madrasah Ad-Diniah Al Falahiah, Kampung Dalam Huma, Bukit Awang, Pasir Puteh, dikenakan PKPD untuk tempoh yang sama.

* Putrajaya

* Negeri Sembilan kecuali bagi daerah Seremban dan Port Dickson yang akan dilanjutkan PKPB bermula 7 Disember sehingga 20 Disember.

Sementara itu, Kuala Lumpur dan Selangor masih dilanjutkan PKPB sehingga 20 Disember berikutan peningkatan kes Covid-19 kecuali bagi daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor yang akan kembali ke PKPP.

Pada masa yang sama, katanya PKPB di Kulim, Kedah yang sepatutnya berakhir esok akan dilanjutkan sehingga 20 Disember berikutan terdapat 334 kes positif bagi kluster di Kulim.

Di Johor pula PKPB di Mersing ditamatkan esok seperti yang dijadualkan, manakala PKPB di Kota Tinggi dilanjutkan sehingga 20 Disember, sementara tiga daerah iaitu Johor Bahru, Batu Pahat dan Kulai dikenakan PKPB mulai 7 Disember hingga 20 Disember. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!