Meninggal dunia selepas 20 hari koma

Khairunnisak (tengah) menerima kunjungan dari Perkasih N9 Lajnah Kebajikan Pas Negeri Sembilan di rumahnya di Kampung Sri Melenggang, Astana Raja, Kota semalam.
Khairunnisak (tengah) menerima kunjungan dari Perkasih N9 Lajnah Kebajikan Pas Negeri Sembilan di rumahnya di Kampung Sri Melenggang, Astana Raja, Kota semalam.
A
A
A

REMBAU - Keterujaan seorang pemandu di sebuah tapak projek di Jabatan Pembetungan Putrajaya menyambut kelahiran anak perempuan pertamanya tidak kesampaian apabila meninggal dunia selepas 20 hari koma di hospital.

Mohd Ghazali Akup, 49, terlibat dalam kemalangan di Kota, Rembau pada 11 November lalu ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Sri Melenggang, Astana Raja, Kota di sini.

Isterinya, Khairunnisak Ashaari, 35, sedang sarat mengandung ketika tragedi itu dan selamat melahirkan anak keenam mereka empat hari selepas kejadian.

Menurut Khairunnisak, Allahyarham sangat gembira dan teruja selepas mendapat tahu bakal mendapat anak perempuan tetapi malangnya tidak sempat melihatnya.

"Arwah teruja sebaik tahu saya mengandung anak perempuan kerana lima anak kami sebelum ini lelaki. Sudah ketentuan ALLAH apabila dia terlibat dalam kemalangan.

"Kejadian mengakibatkan suami saya yang cedera parah dan koma dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban sebelum meninggal dunia pada 30 November lalu," katanya.

Khairunnisak kini terpaksa menyara enam anaknya seorang diri selepas kematian suami.
Khairunnisak kini terpaksa menyara enam anaknya seorang diri selepas kematian suami.

Paling meruntun hati Khairunnisak apabila anak perempuannya lahir pada 15 November di hospital sama Allahyarham dirawat.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, anaknya diberi nama Diya Nuraisya Mohd Ghazali hasil perbincangan bersama Allahyarham ketika dia masih hidup.

"Buat masa sekarang saya masih tinggal dengan kakak, Zuriani Ashaari, 48, yang juga ibu tunggal tiga anak berusia dari 18 hingga 23 tahun. Dia bekerja sebagai Pembantu Tadika Kemas," katanya selepas menerima sumbangan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9) dan Lajnah Kebajikan Pas Negeri Sembilan di rumahnya di Kampung Sri Melenggang, Astana Raja, Kota di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Perkasih N9, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya akan menjelaskan tunggakan bil utiliti elektrik dan air keluarga ini yang tertunggak hampir RM1,000.

"Memang menyedihkan apabila tunggak keluarga mereka hilang sekelip mata dan pada masa sama anak ini lahir tanpa sempat melihat ayahnya.

"Kami akan memanjangkan kes ini kepada pihak berwajib untuk bantuan berterusan dan memantau perkembangan keluarga ini dari masa ke masa," katanya.

Norfadilah berkata, orang ramai boleh terus membantu bagi meringankan beban keluarga ini dengan menghubungi mereka di talian 011-63988443 (Khairulnisak) untuk keterangan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!