Tak sempat joli hasil jual mercun

Noorzainy menunjukkan antara mercun yang dirampas dalam Op Limau.
Noorzainy menunjukkan antara mercun yang dirampas dalam Op Limau.
A
A
A

KEPALA BATAS - Niat dua lelaki untuk mendapat hasil lumayan daripada mercun yang dijual lebur apabila kedua mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan pertama di sebuah rumah kedai di Jalan Raja Uda sebelum serbuan kedua dijalankan di Bagan Ajam, Telok Air Tawar.

“Polis merampas sejumlah besar mercun dan bunga api, masing-masing bernilai RM50,000 dan RM40,000 bagi rampasan di dua lokasi berbeza dalam Op Limau.

“Siasatan yang dijalankan mendapati kedua suspek berusia 35 dan 25 tahun tidak mempunyai permit yang sah untuk menjual mercun dan bunga api,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Utara di sini, hari ini.

Antara mercun yang dirampas dalam serbuan sebuah rumah kedai di Jalan Raja Uda dan Bagan Ajam, Telok Air Tawar.
Antara mercun yang dirampas dalam serbuan sebuah rumah kedai di Jalan Raja Uda dan Bagan Ajam, Telok Air Tawar.

Menurutnya, kedua suspek itu mengaku mendapat bekalan mercun dan bunga api daripada negara jiran.

“Siasatan dijalankan mendapati kedua suspek mengaku menjual mercun dan bunga api sekitar Butterworth dan Mak Mandin dan rampasan melibatkan 71 kotak besar yang mengandungi pelbagai jenis mercun dan jenama.

“Semakan mendapati kedua-duanya yang menjalankan perniagaan sendiri itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Noorzainy berkata, suspek berkenaan ditahan reman tujuh hari untuk disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.