36 ditahan langgar syarat lesen jual mercun, bunga api

Seramai 36 lelaki termasuk tiga warga asing ditahan di seluruh Johor kerana melanggar syarat lesen dan permit penjualan mercun serta bunga api bagi tempoh 28 Mac hingga 26 April. - Foto Polis Johor
Seramai 36 lelaki termasuk tiga warga asing ditahan di seluruh Johor kerana melanggar syarat lesen dan permit penjualan mercun serta bunga api bagi tempoh 28 Mac hingga 26 April. - Foto Polis Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 36 lelaki termasuk tiga warga asing ditahan di seluruh Johor kerana melanggar syarat lesen dan permit penjualan mercun serta bunga api bagi tempoh 28 Mac hingga 26 April.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua individu berkenaan ditahan di bazar raya dan premis yang menjual bunga api dan mercun.

Ujarnya, sejumlah 712 mercun dan bunga api pelbagai jenis telah dirampas sepanjang operasi penguatkuasaan tersebut.

"Sebanyak 33 kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Polis Johor komited melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan permit penjualan mercun dan bunga api yang telah diluluskan. - Foto Polis Johor
Polis Johor komited melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan permit penjualan mercun dan bunga api yang telah diluluskan. - Foto Polis Johor

"Manakala 18 kertas siasatan telah dituduh di mahkamah di bawah Peraturan 74, Peraturan-peraturan Bahan Letupan 1923 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 76, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM300.

"Baki 15 lagi kertas siasatan pula masih dalam proses untuk dilengkapkan bagi pertuduhan di mahkamah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada masa sama, Kamarul Zaman berkata, polis Johor komited dalam melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan permit penjualan mercun dan bunga api yang telah diluluskan.

"Polis Johor juga akan mengambil tindakan tegas di bawah Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207), jika terdapat sebarang pelanggaran membabitkan individu dan organisasi yang tidak mempunyai permit, lesen memiliki, menjual dan membeli mercun atau bunga api selain yang dibenarkan," katanya.