Jadikan Nabi Muhammad idola generasi muda

PU Hafiz sebagai panelis pada Wacana Al-Quran Siri 31 bertajuk Gen Z dan Norma Baharu.
PU Hafiz sebagai panelis pada Wacana Al-Quran Siri 31 bertajuk Gen Z dan Norma Baharu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sikap generasi muda hari ini yang taksub dengan hiburan hingga situasi seolah-olah telah kembali ke zaman jahiliah perlu diperbetulkan dengan memberi bimbingan kepada mereka agar menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai idola.

Presiden Majlis Belia Tahfiz Malaysia, Ustaz Muhammad Hafiz Muhammad Haneefa atau lebih dikenali sebagai PU Hafiz berkata, kebanyakan anak-anak muda ketika ini dilihat sudah sedikit tersasar dalam kehidupan mereka dan perlu ditarik semula dari terus hanyut.

"Dalam diri Rasulullah ada contoh ikutan yang baik. Anak-anak muda ini tahu nabi hebat, nabi luar biasa tetapi yang dia agung-agungkan (misalnya) adalah penyanyi Korea.

"Sebab itu kita tak terkejut bila lima enam tahun lalu, ada kes remaja perempuan terkinja-kinja, terlompat-lompat naik ke atas pentas dan teruja dipeluk lelaki-lelaki Korea," katanya.

PU Hafiz berkata demikian selaku panelis pada Wacana Al-Quran Siri 31 bertajuk Gen Z dan Norma Baharu yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian.

Wacana itu turut menampilkan Pembimbing Belia, Mohammad Rizan Hassan sebagai panelis dan Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku moderator serta Johan Tilawah Asia di Brunei 2015 dan Thailand 2016, Ustaz Husaini Mahmur selaku qari jemputan yang memperdengarkan bacaan Surah Al-Kahf ayat 10 hingga 15.

Mengulas lanjut, PU Hafiz memberitahu, keadaan itu menunjukkan ada dalam kalangan generasi muda sudah kehilangan adab sehingga berani melakukan dosa dan maksiat secara terang-terangan.

Menurutnya, perubahan boleh dilakukan dengan memberi bimbingan kepada mereka tentang idola yang sepatutnya dicontohi selain sistem pendidikan juga perlu diperkukuhkan lagi.

Artikel Berkaitan:

PU Hafiz (dua kanan) bergandingan bersama Muhammad Rizan sebagai panelis pada Wacana Al-Quran Siri 31 bertajuk Gen Z dan Norma Baharu yang turut menampilkan Ustaz Husaini (kanan) dan Fazrul (kiri).
PU Hafiz (dua kanan) bergandingan bersama Muhammad Rizan sebagai panelis pada Wacana Al-Quran Siri 31 bertajuk Gen Z dan Norma Baharu yang turut menampilkan Ustaz Husaini (kanan) dan Fazrul (kiri).

"Sebagai contoh saya ambil kisah sahabat nabi, Mus'ab Bin Umayr. Kita tahu dia kaya, tampan dan baharu berusia belasan tahun. Kalau dia jalan di pasar-pasar di Kota Mekah, bau wangian dia sudah cukup menggiurkan kaum wanita Quraisy ketika itu.

"Dia digilai ketika itu tetapi dia boleh meninggalkan (hal) keduniaan. Kerana apa? Sebab dia ada mentor (Rasulullah)," katanya.

Tambah beliau, Nabi Muhammad berjaya mengubah dan mengeluarkan manusia daripada kejahilan serta kegelapan kepada cahaya apabila datangnya Islam ketika zaman jahiliah.

"Sebab itu kita tidak hairan mengapa seorang penulis terkenal Barat pada tahun 1970-an meletakkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin nombor satu hebat dunia dalam sejarah manusia.

Justeru dalam memberi bimbingan kepada generasi muda, PU Hafiz berkata, pendidikan ta'dib (pendidikan Islam yang bertujuan untuk melahirkan manusia beradab) yang diajar Rasulullah perlu dipraktikkan kerana ia satu pendidikan yang luar biasa.

Katanya, Rasulullah jarang berdakwah secara lisan sebaliknya menunjukkan contoh menerusi perbuatan yang menjadi ikutan kepada seluruh umat baginda.

"Kita kena terima hakikat anak-anak muda ini tidak suka kita berleter dan perkara itu juga tidak dilakukan menerusi Rasulullah.

"Jadi ibu bapa kena ingat anak-anak adalah cerminan mereka. Kalau ibu bapa suruh anak-anak jangan mengadap telefon pintar 24 jam, maka ibu bapa pun janganlah buat begitu. Ibu bapa kena bimbing anak-anak ke jalan yang benar," katanya.

quote-pu
quote-pu