'PM seolah-olah tak baca surat kami' - Pen Mutiara

Kehidupan nelayan di selatan Pulau Pinang akan terjejas walaupun projek PSI telah dikecilkan skopnya. (Gambar kecil:Ibrahim)
Kehidupan nelayan di selatan Pulau Pinang akan terjejas walaupun projek PSI telah dikecilkan skopnya. (Gambar kecil:Ibrahim)
A
A
A

GEORGETOWN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa tidak mendengar suara rakyat apabila tidak membatalkan projek Selatan Pulau Pinang (PSI) walaupun banyak pihak yang menentangnya.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara), Ibrahim Che Rose berkata, pihaknya amat kesal apabila Anwar hanya mengarahkan kerajaan negeri supaya mengkaji semula dan mengecilkan skop tambakan.

"Pen Mutiara amat kesal apabila Perdana Menteri langsung tidak mengendahkan rayuan kami agar projek PSI ini dibatalkan terus. Surat telah kami serahkan dengan menyenaraikan alasan-alasan kukuh, tetapi kerajaan pusat masih juga mahu ia dilaksanakan.

"Ia seolah-olah Perdana Menteri tak baca surat yang telah kami serahkan kepada wakil kementerian pada 5 Mei lalu.

"Kaji semula dan pengecilan skop tambakan bukan isu kerana kemusnahan laut sama, kecil ke besar ke, tetap musnah," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sebelum ini, satu surat bantahan terhadap projek PSI telah diserahkan kepada Anwar oleh Pen Mutiara melalui Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim dalam satu perjumpaan di Restoran Pen Mutiara, Batu Maung di sini.

Selain menyerahkan surat bantahan, Pen Mutiara juga menyatakan alasan-alasan bantahan mereka kepada wakil Perdana Menteri itu untuk dibentangkan kepada Anwar.

Antara kandungan surat bantahan itu adalah kesan kepada kawasan penangkapan ikan di kawasan teluk yang merupakan santuari dan cukup sesuai untuk ikan.

Selain itu, projek PSI juga akan menyebabkan nelayan akan kehilangan kawasan tangkapan di luar pantai yang mana aktiviti perlombongan pasir untuk penambakan dijalankan.

Mereka turut memberi alasan bahawa kawasan yang menghadap pantai barat Pulau Pinang berjarak 50 kilometer (km) dari pantai akan dimusnahkan oleh aktiviti perlombongan pasir yang akan menurunkan kualiti air yang sesuai untuk pembesaran ikan.

Kehilangan keseluruhan kawasan penangkapan ikan akan berlaku sehingga 100km dari pantai semasa projek itu berjalan.

Aktiviti pemusnahan yang mengambil masa 30 tahun akan memupuskan kuantiti tangkapan ikan kerana beberapa generasi penetasan dan pembesaran terganggu.

Dalam pada itu, Ibrahim menambah, walaupun Pulau A yang dinamakan sebagai Pulau Silikon itu dikecilkan skalanya, ia akan menjejas mata pencarian kira-kira 1,600 ahli Pen Mutiara kerana lokasi pulau itu melibatkan kawasan pembiakan udang.

"Pendirian kami tetap sama, kami akan bantah projek ini. Walaupun ia dikecilkan, kemusnahan laut dan ekosistem hidupan laut tetap akan berlaku," katanya.