Polis kesan penduduk lari PKPD

Anggota tentera melakukan kerja pemasangan pagar kawat berduri di sekeliling rumah penduduk di Taman Pinji Mewah.
Anggota tentera melakukan kerja pemasangan pagar kawat berduri di sekeliling rumah penduduk di Taman Pinji Mewah.
A
A
A

IPOH - Polis akan mengesan penduduk yang didapati telah melarikan diri sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Taman Pinji Mewah Zon B dan Taman Klebang Jaya Zon A hari ini.

Tinjauan semalam mendapati ada penduduk mengambil kesempatan untuk keluar dari kediaman selepas arahan PKPD diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya akan mengesan kembali mereka berdasarkan maklumat pendaftaran rumah serta penyewa.

Menurutnya, PKPD tersebut melibatkan 1,628 penduduk di Taman Pinji Mewah dan 4,424 penduduk di Taman Klebang Jaya.

“Ujian pengesanan Covid-19 dibuat di kawasan sasaran. Jadi, kita akan pergi rumah ke rumah dan jika ada yang keluar semalam, kita akan kesan kembali kerana semua daftar pemilik rumah dan penyewa kita ada.

“Cuma kita harapkan penduduk lebih bertenang dan diharapkan mereka yang berada dalam zon ini serta di luar sama-sama membantu dengan mematuhi sepenuhnya arahan yang telah dikeluarkan,” katanya dalam sidang akhbar di pos kawalan tempat kejadian PKPD Taman Pinji Mewah di sini hari ini.

A Asmadi berkata, sebarang aktiviti penghantaran makanan atau bantuan perlulah melalui agensi yang terlibat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Rela, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas di setiap pos kawalan.

Artikel Berkaitan:

A Asmadi (tengah) meninjau pelaksanaan PKPD di Taman Pinji Mewah hari ini.
A Asmadi (tengah) meninjau pelaksanaan PKPD di Taman Pinji Mewah hari ini.

“Kita tidak benarkan sebarang pergerakan keluar masuk dan mereka nak salurkan bantuan atau makanan hendaklah merujuk kepada pihak JKM atau berkaitan supaya prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi.

“Begitu juga dengan ubat-ubatan, Pejabat Kesihatan Daerah telah menyediakan klinik bergerak yang boleh memberi rawatan awal, kecemasan atau gerakan ke hospital. Jadi, patuhi SOP agar sama-sama sekat penularan pandemik ini,” katanya.

Katanya, seramai 180 pegawai dan anggota pelbagai agensi akan bertugas di kedua-dua kawasan itu selama 14 hari.

Sehingga kini, Perak mempunyai tiga kawasan PKPD termasuk Taman Meru 2C yang dijangka tamat Khamis ini.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Perak, Daerah Kinta mencatatkan jumlah kes positif tertinggi iaitu 545 kes diikuti Hilir Perak sebanyak 254 kes dan Kampar 39 kes.