Polis kesan lelaki pukul pemandu lori

Tangkap layar insiden berkenaan di Plaza Tol Tanjung Kupang pada awal pagi Rabu lalu.
Tangkap layar insiden berkenaan di Plaza Tol Tanjung Kupang pada awal pagi Rabu lalu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dilaporkan bertindak memukul seorang pemandu lori dengan topi keledar di Plaza Tol Tanjung Kupang (menghala ke Singapura) pada awal pagi Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai perkara terbabit setelah satu klip video berdurasi 28 saat itu tular laman sosial Twitter yang memaparkan penunggang motosikal membuat kecoh di kawasan berkenaan.

"Siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 6.15 pagi di Plaza Tol Tanjung Kupang menghala ke Singapura.

"Kejadian dipercayai berpunca akibat teguran daripada pemandu lori kepada suspek yang menunggang motosikal memasuki laluan yang dilalui lori di plaza tol terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Rahmat berkata, suspek kemudiannya beredar setelah ditarik oleh seorang wanita yang dipercayai isterinya.

"Polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk membantu siasatan," ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat), jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.