Mayat dalam tangki najis: Polis kesan lapan rakan serumah mangsa

Mayat seorang lelaki warga Indonesia ditemui dalam tangki najis disyaki dibunuh dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Wai Thong di sini pada 14 Mei lepas.
Mayat seorang lelaki warga Indonesia ditemui dalam tangki najis disyaki dibunuh dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Wai Thong di sini pada 14 Mei lepas.
A
A
A

SERI ISKANDAR - Polis sedang mengesan lapan individu bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang lelaki warga Indonesia dipercayai mangsa bunuh dalam sebuah tangki najis, di Kuala Kangsar pada 14 Mei lepas.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kesemua suspek merupakan warga Indonesia yang tinggal serumah dengan mangsa.

"Kita telah kenal pasti (suspek) dan kita sekarang sedang mengesan mereka bagi melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk ke DPP (Timbalan Pendakwa Raya) dan tindakan selanjutnya.

"Jadi berilah masa kepada pihak berkuasa dan kami menjalankan siasatan dan mengesan suspek-suspek ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia Perak Tahun 2023 di Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah, Bota dekat sini Sabtu malam.

Pada 15 Mei, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, polis sedang mengesan pasangan suami isteri yang juga rakan serumah mangsa dipercayai telah melarikan diri, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.