Kluster Bayam Indah jadi peringatan buat rakyat Kedah

Dr Mohd Hayati Othman
Dr Mohd Hayati Othman
A
A
A

ALOR SETAR - Kemunculan Kluster Bayam Indah di Sungai Seluang, Kulim pada 21 November lalu seharusnya menjadi peringatan kepada semua penduduk agar kewujudan 12 kluster pandemik koronavirus (Covid-19) di Kedah sebelum ini tidak berulang.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, rakyat Kedah tidak boleh leka selain berusaha mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan sebaik mungkin.

Menurutnya, biarpun 12 kluster di Kedah sebelum ini sudah tiada lagi, namun kemunculan Kluster Bayam Indah sejak seminggu lalu tidak boleh dipandang ringan.

"Rakyat tidak boleh mengambil mudah dengan menganggap mereka sudah bebas apabila kes positif Covid-19 di negeri ini semakin berkurangan. Kluster Bayam Indah yang wujud sekarang ini daripada individu semasa perayaan Deepavali sebelum ini.

"Sekarang kira-kira 6,000 penduduk melibatkan sebanyak 1,412 rumah yang tinggal di Taman Bayam, Taman Bayam Indah, Taman Kangkong 1, Taman Kangkong 2, Taman Halia, Taman Cekur Manis, Taman Kobis, Taman Sawi dan Taman Seri Limau dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak semalam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, semua penduduk di kawasan terbabit akan menjalani ujian saringan Covid-19 seperti PKPD Bersasar di Amanjaya, Sungai Petani akibat Kluster Tawar pada Ogos lalu dan tidak dibenarkan keluar kecuali kecemasan.

Rabu lalu, PKPD telah ditetapkan di sembilan taman perumahan di Mukim Sungai Seluang, Kulim, Kedah bermula semalam hingga 10 Disember depan seperti diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perkara tersebut berikutan terdapat 50 kes positif Covid-19 dikesan di lokaliti terbabit selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan 197 ujian saringan bersasar.

Artikel Berkaitan: