Pesanan jurulatih jadi azimat buat Tze Yong

Tze Yong mahu 'pergi jauh' dalam Kejohanan Badminton Dunia di Denmark kali ini setelah terkandas pada pusingan kedua edisi lalu. - Foto Badminton Photo
Tze Yong mahu 'pergi jauh' dalam Kejohanan Badminton Dunia di Denmark kali ini setelah terkandas pada pusingan kedua edisi lalu. - Foto Badminton Photo
A
A
A

PESANAN jurulatih, Hendrawan menjadi azimat buat pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong untuk melakar kejutan ke atas pemain China, Zhao Jun Peng dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark pada Isnin.

Kedua-dua pemain belum pernah bertemu sebelum ini, namun Jun Peng turun selaku pemenang pingat gangsa kejohanan dunia edisi lalu.

“Coach Hendrawan mengingatkan saya untuk tidak terlalu gementar sebaliknya nikmati permainan sebaiknya,” katanya.

Dalam aksi itu, Tze Yong yang kini menghuni ranking ke-22 dunia menampilkan aksi bertenaga untuk mengatasi Jun Peng 21-19 pada set pertama.

Anak kelahiran Johor itu kian bersemangat pada set kedua, biarpun Jun Peng cuba untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Tze Yong bagaimanapun mengerah segala kudratnya untuk menoktahkan perlawanan dengan keputusan 26-24 untuk meraih tiket ke pusingan kedua.

“Saya tidak rasa gaya permainan kami ada persamaan kerana ini kali pertama kami berjumpa. Aksi di depan jaring sering bertukar tangan, jadi saya fikir ia adil untuk kami.

“Berasa agak gementar apabila dia cuba untuk mencabar keputusan mata akhir dengan meminta ‘challenge’.

Artikel Berkaitan:

“Saya amat berharap bulu tangkis memang sudah keluar daripada gelanggang,” katanya.

Sebagai rekod, Tze Yong menamatkan saingan tahun lalu pada pusingan kedua selepas akur tewas kepada pemain Thailand, Sitthikom Thammasin menerusi aksi tiga set 9-21, 21-10, 19-21.

“Fokus selepas ini adalah untuk terus pamer peningkatan dalam setiap aksi kerana tahun lalu saya tersingkir di pusingan kedua,” tambahnya.

Menanti Tze Yong pada pusingan kedua pada Rabu ialah pemenang antara pemain Denmark, Anders Antonsen yang menentang Misha Zilberman dalam satu lagi aksi pusingan pertama.