Paras air naik mendadak dalam satu jam

Air yang naik dengan cepat sudah menghampiri bumbung sebuah rumah di Kampung Teladas, Air Putih, Kemaman ketika dirakam jam 1 tengahari ini. - Foto ihsan Yuslina
Air yang naik dengan cepat sudah menghampiri bumbung sebuah rumah di Kampung Teladas, Air Putih, Kemaman ketika dirakam jam 1 tengahari ini. - Foto ihsan Yuslina
A
A
A

KEMAMAN – [DIKEMASKINI] Penduduk di Kampung Teladas, Air Putih, di sini mengakui banjir tahun ini di kawasan itu tidak dijangka kerana paras air naik mendadak melebihi satu meter dalam tempoh satu jam.

Yuslina Tarmizi, 28, berkata, dia menyedari air mula memasuki kediaman di kampung berkenaan jam 6 pagi tadi sebelum mengejutkan ahli keluarganya yang lain untuk memindahkan barang-barang ke tempat selamat.

“Hujan lebat dalam jam 4 pagi, selepas itu kami sedar air mula memenuhi kawasan persekitaran rumah. Tak sampai satu jam selepas itu air naik mendadak sehingga mencecah paras dada.

YUSLINA
YUSLINA

“Mujurlah tiga buah kereta selamat dialihkan dan barangan elektrik seperti peti sejuk, mesin basuh dan beberapa alatan lain sempat dialihkan ke atas para di dalam rumah. Sebaik selesai memindahkan barang kami segera berpindah ke lokasi selamat,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, kebiasaannya penduduk di kampung itu berkemas lebih awal untuk menghadapi banjir berdasarkan paras air di Jambatan Air Putih, malangnya kali ini air naik sekali gus sehingga ada antara mereka yang tidak sempat menyelamatkan barangan berharga.

“Tahun-tahun sudah Jambatan Air Putih akan ditenggelami air sebanyak tiga kali dahulu sebelum air mula naik ke rumah penduduk di sini.

“Kali ini kami semua tidak sangka air naik begitu cepat. Banjir tahun ini berbeza kerana air dari hulu turun dengan cepat sehingga menenggelamkan jambatan dan kediaman penduduk.

Artikel Berkaitan:

“Bagi saya banjir tahun ini agak dahsyat berbanding 2013. Mujurlah ada ramai adik-beradik iaitu dalam 20 orang ahli keluarga di rumah ini, jadi kami sempat punggah barang-barang ke tempat selamat,” katanya yang kebetulan pulang di kediaman keluarganya di situ semalam.

Keadaan air yang telah melepasi kediaman keluarga Yuslina di Kampung Teladas, Air Putih, Kemaman. - Foto ihsan Yuslina
Keadaan air yang telah melepasi kediaman keluarga Yuslina di Kampung Teladas, Air Putih, Kemaman. - Foto ihsan Yuslina

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, sehingga jam 4 petang tadi sebanyak dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman telah dibuka melibatkan seramai 279 mangsa daripada 79 keluarga.

Katanya, pembukaan PPS di daerah itu hari ini menjadikan keseluruhan sebanyak lima daerah kini dilanda banjir melibatkan Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun, Marang dan Kemaman dengan keseluruhan mangsa banjir setakat ini seramai 698 orang.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, sehingga jam 8 malam ini sebanyak tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman telah dibuka melibatkan seramai 758 mangsa daripada 184 keluarga.

Katanya, pembukaan PPS di daerah itu menjadikan keseluruhan sebanyak lima daerah di Terengganu dilanda banjir melibatkan Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun, Marang dan Kemaman dengan seramai 1,135 mangsa daripada 296 buah keluarga.