'Perang' menentang tembakau seludup perlu diperhebatkan

Tembakau seludup adalah masalah yang menghantui Malaysia sejak lama dan membentuk bahagian yang penting dalam ekonomi bayangan. Gambar kecil: Pankaj Kumar
Tembakau seludup adalah masalah yang menghantui Malaysia sejak lama dan membentuk bahagian yang penting dalam ekonomi bayangan. Gambar kecil: Pankaj Kumar
A
A
A
BELANJAWAN 2021 dilihat sebagai langkah pertama dalam suatu proses yang panjang bagi Malaysia untuk memperbetulkan pendekatan menangani isu tembakau seludup.

Tembakau seludup adalah masalah yang menghantui Malaysia sejak lama dan membentuk bahagian yang penting dalam ekonomi bayangan.

Ekonomi bayangan, yang dianggarkan sebanyak 18.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia atau bersamaan dengan nilai RM275 bilion, perlu ditangani memandangkan negara kehilangan jumlah yang besar dari segi pendapatan cukai.

Berdasarkan kepada pendapatan cukai kerajaan sebagai peratusan daripada KDNK nominal sebanyak 11 peratus, ia diterjemahkan kepada RM30 bilion mengikut data terkini. Sebagai peratusan daripada pendapatan kerajaan sebanyak RM236.9 bilion seperti yang telah diumumkan pada Belanjawan 2021, yang diterjemahkan kepada kira-kira 12.7 peratus. Ini bukanlah jumlah yang kecil yang boleh diabaikan.

Bagi industri tembakau, Belanjawan 2021 telah bertindak betul dalam menangani isu yang dihadapi oleh industri dan ini termasuklah membeku pengeluaran lesen baru bagi pengimportan rokok dan menetapkan pelabuhan khas melalui kontena ISO untuk aktiviti penghantaran.

Langkah-langkah ini dialu-alukan oleh industri kerana dilihat sebagai langkah pantas yang boleh dilakukan untuk menangani trend perdagangan haram yang semakin meningkat ini.

Dengan langkah-langkah yang diumumkan itu, diharapkan kerajaan dapat menangani isu-isu berkaitan dengan perdagangan haram ini dengan lebih berkesan serta menyediakan peluang yang sama rata kepada pemain industri tembakau yang mematuhi peraturan.

Walaubagaimanapun, untuk mengklasifikasi produk rokok dan tembakau yang dijual di semua pulau bebas cukai dan zon bebas sebagai barangan yang boleh dikenakan cukai, dilihat sebagai tidak produktif kerana ia memberi impak kepada kawasan setempat yang akan kehilangan “daya tarikan” kepada pelancong yang berkunjung ke destinasi ini.

Selain itu, Menteri Kewangan dilihat menjadikan tembakau dan rokok sebagai sasaran sedangkan arak tidak dimasukkan dalam senarai barangan yang boleh dikenakan cukai untuk kedai-kedai ini.

Artikel Berkaitan:

Apakah sebab perkara ini tidak berlaku? Pulau bebas cukai dan zon bebas adalah destinasi pelancongan dan dalam era Covid-19, perniagaan-perniagaan ini sudahpun terjejas teruk.

Ia adalah tidak masuk akal dan ini akan menambah lagi keperitan mereka dengan mengenakan cukai ke atas barangan ini.

Ia bukan sahaja memberi kesan kepada aktiviti berkaitan pelancongan di tempat-tempat berkenaan, malahan kesan daripadanya juga termasuklah perdagangan haram yang boleh mengambil kesempatan daripada kelemahan cukai ini.

Pada masa ini, pasaran tembakau seludup kini melibatkan 65 peratus daripada keseluruhan pasaran tembakau dan sekiranya usaha tidak dibuat untuk mengurangkan atau mengecilkan peningkatan yang tidak dijangka dalam perdagangan haram ini, Malaysia berisiko untuk dikecam kerana menjadi pusat bagi kegiatan haram.

Oleh itu, persoalannya adalah apa lagi yang boleh dilakukan oleh kerajaan seterusnya untuk menghentikan peningkatan trend perdagangan haram ini?

Untuk menjawab soalan ini, kita perlu memahami semula apa yang berlaku antara tahun 2013-2015 apabila duti eksais dinaikkan sehingga 40 peratus yang menyebabkan kenaikan signifikan kepada harga runcit rokok.

Ini berkait dengan isu kemampuan memandangkan harga yang tinggi akan menyebabkan permintaan bagi produk seludup meningkat, sebahagian besarnya kerana lebih daripada 200 peratus perbezaan harga antara jenama premium sah dengan alternatif yang diseludup.

Adalah jelas bahawa jenama premium dan malahan jenama bernilai yang dipasarkan secara sah ditewas oleh rokok seludup dari segi harga sahaja.

Oleh itu, ia telah menjadi insentif kepada perniagaan rokok yang diseludup dalam tempoh enam tahun, dengan peningkatan sehingga ke tahap 31 peratus daripada 34 peratus pada 2014 dan kepada 65 peratus pada 2020.

Kemampuan juga adalah suatu isu yang berkaitan secara langsung dengan pendapatan masyarakat memandangkan demografik perokok adalah didominasi oleh golongan yang berpendapatan rendah dan pekerja kolar biru. Pendapatan Garis Kemiskinan (PLI) Malaysia sebulan adalah RM2,208 untuk 2019 dan sebanyak 5.6 peratus isi rumah yang termasuk dalam kategori ini manakala PLI Relatif adalah RM2,937 sebulan.

Sekiranya sebungkus rokok berharga RM17.40 dan seseorang menghisap 20 paket sebulan, jumlahnya adalah RM340 sebulan – atau bersamaan dengan 15.4 peratus daripada PLI dan 11.6 peratus daripada PLI Relatif.

Dengan tumpuan tinggi dalam perbelanjaan untuk sesetengah orang yang berpendapatan rendah, ia adalah wajar apabila pelanggan meminta produk yang berharga lebih rendah daripada pasaran.

Dan tidak hairanlah orang akan terdorong untuk membeli jika ia adalah lebih murah ataupun hanya sepertiga daripada kos.

Walaupun Belanjawan 2021 tidak menyebut tentang duti eksais yang tinggi pada masa ini, kerajaan perlu melihat semula kepada struktur duti bagi sektor ini di Malaysia.

Pendapatan cukai kerajaan yang dilepas daripada tembakau seludup, dianggarkan sebanyak RM5 bilion setahun, ia adalah terlalu besar untuk diabaikan dan mestilah ditangani.

Struktur duti yang lebih rendah akan mengecilkan perbezaan harga antara cukai yang dibayar penuh ke atas barangan yang dibekalkan dan barangan yang diseludup dan dijual oleh penjenayah terancang.

Selain itu, kerajaan juga perlu meningkatkan aktiviti penguatkuasaan, terutamanya bagi sumber bekalan, seperti yang sering dinyatakan, jika tiada bekalan, tiadalah permintaan. Lagipun, penjualan barangan tanpa membayar duti eksais adalah kesalahan di bawah undang-undang.

Inilah masanya untuk bertindak, dan sekaranglah waktunya.

* Pankaj Kumar ialah Penganalisis Pelaburan dan Ekonomi