Masalah tumbesaran terbantut perlu ditangani

Zatur Hassim
Zatur Hassim
A
A
A

SHAH ALAM - Masalah tumbesaran kanak-kanak terbantut di Malaysia semakin membimbangkan dan berisiko melarat sehingga ke generasi seterusnya jika tidak ditangani dengan serius.

Perunding Kanan Pediatrik Endokrinologi PPUM, Profesor Dr Muhammad Yazid Jalaludin berkata, berdasarkan kajian, masalah tumbesaran terbantut boleh memberikan kesan kepada IQ kanak-kanak.

Menurutnya, kesan tersebut berisiko memberikan impak kepada pencapaian akademik dan masa depan.

“Mereka mempunyai IQ dan pencapaian akademik yang lebih rendah. Kajian di negara Barat seperti Sweden menunjukkan mereka yang terus bantut sehingga dewasa (lebih rendah daripada orang lain), gaji atau pendapatan bulanan mereka lebih rendah jika dibandingkan dengan orang dewasa yang lebih tinggi.

“Ada kajian menunjukkan bahawa mereka yang lebih rendah itu biasanya akan keluar daripada sistem pembelajaran lebih awal. Terkandas lebih awal dan mempunyai anak lebih awal.

“Jadi perkara itu berterusan. Ia bukan berhenti setakat kanak-kanak itu sahaja tapi berterusan kepada generasi seterusnya dan itu yang kita tidak mahu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Siri 210 bertajuk Makanan Tidak Berzat, Tumbesaran Kanak-kanak Terbantut: Apakah Solusinya? bersama Pengarah Pemasaran Nutrisi Khusus Dutch Lady Milk Industries Berhad, Zatur Hassim dan Pengerusi Perlindungan Kanak-Kanak Wilayah Persekutuan, Syed Azmi Alhabshi serta Adibah Noor selaku moderator di Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa lalu.

Dr Muhammad Yazid mengulas statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 yang menunjukkan sebanyak 21.8 peratus iaitu satu dalam lima kanak-kanak Malaysia di bawah lima tahun dilaporkan terbantut, peningkatan daripada 16.6 peratus pada tahun 2011.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, perkara itu wajar dibimbangi dan perlu diberi perhatian serius khususnya oleh ibu bapa.

Dr Muhammad Yazid Jalaludin
Dr Muhammad Yazid Jalaludin

“Dalam buku Kesihatan Bayi dan Kanak-kanak disediakan oleh KKM, telah ada menu makanan seimbang. Boleh lihat dan belajar cara-cara penyediaan makanan,” katanya.

Jelas Dr Muhammad Yazid, usia dua tahun pertama kanak-kanak penting dalam menentukan potensi tumbesaran yang sempurna dengan memastikan mereka mendapat kalori secukupnya.

“Bila kita sebut ketinggian, dalam masa umur dua tahun pertama, faktor utama adalah pemakanan.

“Kanak-kanak mesti tidur sebelum jam 10 malam setiap hari kerana mereka membesar pada jam 12 malam hingga 4 pagi. Perlu dua jam sebelum untuk mendapatkan tidur yang bagus,” katanya.

Kesedaran

Sementara itu, Zatur berkata, kesedaran ibu bapa dalam menyediakan makanan seimbang meliputi lima kumpulan makanan dalam Piramid Makanan Malaysia perlu ditingkatkan bagi mengatasi isu tumbesaran terbantut dalam kalangan kanak-kanak.

Katanya, dalam menyediakan makanan yang mempunyai zat, ia tidak cukup sekadar ‘asal kenyang’ kerana sikap ambil ringan itu akan memberi kesan kepada tumbesaran anak-anak untuk jangka masa panjang.

Justeru, katanya, ibu bapa perlu memastikan kanak-kanak mendapat nutrisi lengkap yang mana ia perlu mengandungi semua komponen kumpulan makanan tersebut.

“Kalau kita tengok zat atau nutrisi pemakanan, kena ingat istilah makanan seimbang.

“Seimbang ialah lima kumpulan makanan yang terdiri daripada bijirin, buah, sayur, daging, ayam, ikan, kekacang dan produk tenusu,” katanya.

Jelas beliau, ibu bapa perlu mengambil tahu tentang keperluan setiap anak mengikut peringkat usia termasuk memastikan pengambilan tenusu yang sesuai bagi menyokong keperluan makanan seimbang.

Katanya, bagi kanak-kanak yang tidak cukup zat, pengambilan susu diperkaya dengan zat tambahan seperti vitamin dan mineral sangat disarankan. “Susu ada banyak jenis, jadi ibu bapa kena prihatin tentang keperluan anak. Perlu rajin ambil tahu dan baca setiap label makanan bagi menentukan perbezaan produk,” katanya.

Dari kiri: Adibah, Syed Azmi, Dr Muhammad Yazid dan Zatur ketika Wacana Siri 210 bertajuk Makanan Tidak Berzat, Tumbesaran Kanak-kanak Terbantut: Apakah Solusinya? di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Selasa lalu.
Dari kiri: Adibah, Syed Azmi, Dr Muhammad Yazid dan Zatur ketika Wacana Siri 210 bertajuk Makanan Tidak Berzat, Tumbesaran Kanak-kanak Terbantut: Apakah Solusinya? di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Selasa lalu.

Menyentuh mengenai usaha Dutch Lady Milk Industries Berhad, Zatur berkata, dalam tempoh 57 tahun beroperasi di Malaysia, aspek keperluan masyarakat tempatan menjadi keutamaan syarikat.

“Apabila kita mengeluarkan produk susu, kita kaji apa kepentingan kepada rakyat tempatan bagi memastikan produk menepati keperluan.

“Paling penting adalah kita beri pendidikan atau kesedaran tentang kepentingan produk di samping ia diedarkan dengan harga yang mampu milik dan mudah didapati di mana-mana sahaja,” katanya.

Pendekatan

Usaha memberi kesedaran kepada ibu bapa tentang isu tumbesaran kanak-kanak perlu dibuat secara bersemuka khususnya kepada golongan B40.

Syed Azmi berkata, pihaknya tidak menolak faktor kemiskinan menjadi penyumbang kepada kegagalan ibu bapa menyediakan nutrisi lengkap untuk anak-anak mereka.

“Bila saya buat tinjauan, apa jadi jika mereka tak cukup duit untuk beli susu, mereka hanya pastikan asalkan dalam botol anak berwarna putih. Maksudnya tanpa mengambil kira jumlah kandungan susu yang betul.

“Sistem dulu-dulu, beri ceramah dan sebagainya tidak akan memberi kesan. Perlu jumpa setiap ibu bapa dan terangkan satu persatu mengenai kepentingan seperti isu ini.

“Banyak rumah yang tiada peralatan lengkap untuk memasak jadi kita sendiri perlu lebih kreatif untuk mendidik, bagaimana dia nak beri kepentingan untuk bayi dan dia sendiri. Saya rasa masalah untuk susu ibu adalah bila ibu itu sendiri tidak cukup zat,” katanya.

Jelasnya, program bantuan yang dijalankan pihaknya mengambil pendekatan one to one dengan mendidik ibu bapa mengenai cara perbelanjaan yang betul.

“Kami beri duit dan galakkan mereka beli makanan dengan membuktikannya melalui resit. Kita beri keupayaan untuk mereka buat pilihan. Daripada resit, kita ajar mereka semula (keperluan sebenar),” katanya.