Membantu rakyat tidak semestinya perlu ada jawatan

Laporan Sinar Harian membabitkan bantuan daripada Ustaz Ebit Lew.
Laporan Sinar Harian membabitkan bantuan daripada Ustaz Ebit Lew.
A
A
A

SEJAK berlakunya penularan koronavirus (Covid-19) di negara kita, Merak jalanan tengok Ustaz Ebit Lew ialah orang yang paling sibuk membantu rakyat terjejas.

Selain mencukupkan keperluan manusia, beliau juga membantu haiwan di zoo yang berdepan dengan kegawatan bekalan makanan.

Keikhlasan beliau itu bukan sahaja mendapat pujian malah galakan ramai agar individu berasal dari Pahang itu menceburi bidang politik.

Tujuannya supaya beliau mempunyai autoriti yang membolehkannya membantu lebih ramai rakyat yang terjejas.

Bagaimanapun, Merak Jalanan kurang bersetuju dengan galakan tersebut. Bukan dengki tapi bimbang fokus ustaz kesayangan ramai membantu golongan memerlukan itu terjejas.

Silap hari bulan, beliau terlebih berpolitik pula. Katakanlah, kalau Ustaz Ebit Lew menyertai politik kepartian sebagai platform, sudah tentu beliau akan terikat dengan polisi parti yang sibuk memperjuangkan ‘itu dan ini’.

Jika beliau bergerak sebagai wakil rakyat Bebas pula, dikhuatiri pendakwah itu cenderung menghabiskan masa membahaskan ‘itu dan ini’ demi menjaga pengundi di kawasannya sahaja.

Jadi, untuk mengelakkan perkara sama berlaku macam segelintir ahli politik yang hanya nampak ‘batang hidung’ ketika menjelang pilihan raya, adalah lebih baik beliau menjadi Ustaz Ebit Lew sebagaimana yang dikenali pada hari ini.

Artikel Berkaitan:

Cumanya, Merak Jalanan berharap kesungguhan Ustaz Ebit Lew membantu golongan memerlukan itu mereflek orang lain, sekali gus mewujudkan lebih ramai individu sepertinya di setiap kawasan di seluruh negara.

Lagipun sifat suka membantu hanya memerlukan kesanggupan dan kesabaran, bukan jawatan seperti yang dituntut seorang wakil rakyat baru-baru ini walaupun beliau sendiri sebenarnya mempunyai jawatan diberikan rakyat pada PRU-14 lalu.