Peniaga disaran lantik kontraktor urus, lupus pakaian terpakai

Kakitangan SWcorp melakukan kerja-kerja pembersihan pakaian terpakai yang dibuang di tong sampah awam.
Kakitangan SWcorp melakukan kerja-kerja pembersihan pakaian terpakai yang dibuang di tong sampah awam.
A
A
A

KUANTAN - Peniaga disarankan melantik kontraktor kutipan sisa (ICI) berlesen dengan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) bagi mengurus dan melupuskan lebihan pakaian terpakai mengikut prosedur yang betul.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata, tindakan itu bagi memastikan sisa terbabit dibuang dengan kaedah yang betul bukannya dibuang di tong sampah awam.

"Kita kesal dengan tindakan segelintir peniaga yang hanya pentingkan keuntungan semata-mata dengan membuang lebihan pakaian mereka terus ke tong sampah awam. Mereka tidak sepatutnya bertindak sedemikian kerana pakaian terpakai ini boleh dilupuskan dengan kaedah kitar semula.

"Tindakan yang tidak bertanggungjawab seperti ini boleh diambil tindakan undang-undang di bawah peraturan Akta 672,Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

SWcorp Pahang mendedahkan pembuangan pakaian terpakai di tong sampah awam di laman sosial Facebook rasminya.
SWcorp Pahang mendedahkan pembuangan pakaian terpakai di tong sampah awam di laman sosial Facebook rasminya.

Beberapa hari lalu, tular di laman sosial Facebook mengenai pembuangan pakaian terpakai di tong sampai awam di sekitar Balok dan beberapa lokasi di sekitar Kuantan.

Mengulas mengenai perkara itu, Sharudin berkata, pihaknya telah ke lokasi yang terbabit bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Katanya, hasil pemeriksaan itu, dianggarkan 80 hingga 120 kilogram pakaian terpakai dipercayai dibuang oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

"SWcorp sudi bekerjasama dengan mana-mana peniaga pakaian terpakai ini dengan mengadakan Program Flea Market dalam usaha membantu peniaga.

"Program Free Market ini berkonsepkan memberi barangan terpakai termasuklah pakaian kepada mana-mana pihak yang memerlukan secara percuma. Jadi, kita yakin pendedahan program seperti ini dapat membantu masyarakat peka dengan kaedah betul untuk melupuskan barangan terpakai," katanya.

Dalam pada itu, Sharudin berkata, pihaknya akan sentiasa menyalurkan maklumat dan pendedahan kepada masyarakat tentang pentingnya pembuangan sisa terpakai ini di tempat yang sesuai.

"Ia secara tidak langsung dapat memastikan keadaan di pusat-pusat pembuangan sampah atau tong sampah awam berada dalam keadaan baik dan tidak mencacatkan pemandangan.

"Malah kita juga menggalakkan masyarakat untuk mengamalkan konsep guna atau kitar semula," katanya.