Covid-19: Enam lagi kluster baharu direkod hari ini

Dr Noor Hisham. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sekurang-kurangnya enam lagi kluster baharu koronavirus (Covid-19) direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga kini terdapat 345 kluster telah dilaporkan.

Menurutnya, kluster baharu itu direkodkan dua di Sabah dan masing-masing satu di Johor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Pulau Pinang.

"Kluster Bot Biru dikesan di Tawau, Sabah di mana kes indeks iaitu kes ke-46546 dilaporkan positif Covid-19 pada 15 November lalu hasil saringan individu bergejala.

"Sehingga kini, 23 individu telah disaring dan 17 disahkan positif," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Blok 31 juga dikesan di Tawau dengan 13 daripada 26 individu disaring disahkan positif Covid-19.

"Kes indeks iaitu kes ke-52971 dilaporkan positif hasil saringan individu bergejala pada 21 November," katanya.

Menurutnya, Kluster Gemilang pula membabitkan sebuah syarikat logistik di Johor Bahru.

Artikel Berkaitan:

"Kes indeks iaitu kes ke-58837 merupakan kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) telah dilaporkan positif Selasa lalu.

"Sehingga hari ini, 95 individu telah disaring dan 26 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya.

Tambahnya, Kluster Tapak Bina Sungai Udang dikesan membabitkan pekerja-pekerja tapak pembinaan di Kepong, Kuala Lumpur.

"Kes indeks iaitu kes ke-54604 dilaporkan positif Covid-19 hasil saringan di tempat kerja pada 22 November.

"Seramai 11 individu daripada 196 yang disaring disahkan positif Covid-19," katanya.

Beliau berkata, di Kelantan pula, Kluster Chengal melibatkan daerah Kota Bharu dan Machang, Kelantan.

"Kes indeks iaitu kes ke- 54773 merupakan kes SARI dilaporkan positif pada 21 November.

"Seramai 254 telah disaring manakala 15 disahkan positif," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Damar Laut dikesan melibatkan Timur Laut dan Barat Daya di Pulau Pinang, serta Padang Terap Kedah.

"Lima kes pertama bagi kluster ini dilaporkan positif hasil saringan individu bergejala antara 21 hingga 25 November.

"Sehingga hari ini, 651 individu telah disaring dan 13 daripadanya disahkan positif," katanya.

Katanya, terdapat dua kluster dilaporkan tamat iaitu Kluster Tuguson dan Kluster Seri Gaya.

"Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 173 kluster.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 44 kluster melaporkan pertambahan kes iaitu Kluster Bakti (95 kes), Kluster Cergas (48 kes) dan Kluster Enggor (43 kes)," katanya.