RM113.7 juta perkasa syiar Islam

Kerajaan Johor peruntukkan RM113.7 juta bagi melaksanakan inisiatif pemerkasaan syiar Islam menerusi Agenda Johor Madani dalam Belanjawan Johor 2021.
Kerajaan Johor peruntukkan RM113.7 juta bagi melaksanakan inisiatif pemerkasaan syiar Islam menerusi Agenda Johor Madani dalam Belanjawan Johor 2021.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri memperuntukkan RM113.7 juta bagi melaksanakan inisiatif pemerkasaan syiar Islam menerusi Agenda Johor Madani dalam Belanjawan Johor 2021.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, inisiatif itu termasuk pembinaan 12 buah sekolah agama fasa enam bagi tempoh lima tahun akan datang dengan peruntukan RM85 juta.

“Pembinaan baharu sekolah ini dapat menyediakan 12,000 tempat belajar bagi anak-anak Islam di Johor.

"Sebanyak RM9 juta diperuntukkan bagi membaik pulih dan penambahbaikan infrastruktur Sekolah Agama Negeri Johor dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan sedia ada,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2021 pada Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Selain itu Hasni berkata, kerajaan negeri menerusi Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) juga akan menaik taraf 10 buah Sekolah Agama Kebangsaan Johor (SAKJ) kepada Sekolah Bestari dengan peruntukan RM1.5 juta dalam tempoh tiga tahun.

Menurutnya, kerajaan negeri akan membaik pulih dan menyelenggara masjid-masjid kerajaan dan kariah serta Projek Pembangunan Perkuburan Bersepadu dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM7.4 juta.

“Sejumlah RM300,000 diperuntukkan bagi menubuhkan Briged Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja). Briged ini akan menggalakkan belia Islam menceburkan diri dalam aktiviti kesukarelawan masjid dan surau," ujarnya.

"Kita anggarkan seramai 500 belia berumur antara 15 hingga 30 tahun akan terlibat dalam briged ini, " katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hasni berkata, kerajaan negeri menerusi Majlis Halal Negeri Johor akan memperkasakan peranannya dalam merangka strategi untuk menjadikan negeri ini sebagai Hab Halal Global.

“Antara inisiatif yang akan dilaksanakan ialah pertama, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) meningkatkan kapasiti Johor Toyyiban Laboratories (JTLab) sebagai sebuah pusat analisis dan penyelidikan komersial yang diiktiraf dunia

"Kedua, bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kerajaan negeri akan bekerjasama dengan PIJ Holdings bagi menyediakan geran pembiayaan sebanyak RM500,000 bagi mendapatkan bimbingan permohonan sijil halal," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Johor bentang belanjawan defisit RM248.14 juta

Peruntukan ADUN pembangkang dinaikkan tiga kali ganda

Johor jangka pertumbuhan ekonomi pada kadar 6.6 - 7.6 peratus