X

Kindly register in order to view this article
!

Johor bentang belanjawan defisit RM248.14 juta

Hasni membentangkan Belanjawan Johor 2021 pada Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini.
A
A

KOTA ISKANDAR - Kerajaan Johor hari ini membentangkan Belanjawan Johor 2021 yang merupakan belanjawan defisit berjumlah RM248.14 juta.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, pada tahun depan unjuran hasil negeri adalah berjumlah RM1,609.07 juta manakala unjuran perbelanjaan berjumlah RM1,857.21 juta.

"Senario ini menunjukkan Belanjawan Johor 2021 adalah belanjawan defisit, iaitu RM248.14 juta. Ya, belanjawan ini adalah belanjawan yang defisit.

"Kerajaan negeri akan membelanjakan sebanyak RM850 juta menerusi Kumpulan Wang Pembangunan bagi melaksanakan 12 Agenda Utama Belanjawan Johor 2021," katanya membentangkan Belanjawan Johor 2021 bertema Berdaya Tahan Demi Kemakmuran pada Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-14, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Katanya, dalam situasi ekonomi seperti sekarang, kerajaan negeri harus berbelanja lebih daripada biasa, mengikut sumber yang sedia ada dan berfokus.

Beliau berkata, bagi perbelanjaan mengurus yang merangkumi caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM997.21 juta, iaitu RM513.69 juta bagi emolumen dan RM483.51 juta bagi perbelanjaan lain.

Menurutnya, terdapat dua strategi kewangan bagi Belanjawan Johor 2021 iaitu dengan mengoptimumkan segala sumber yang ada pada kerajaan negeri, termasuk menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

"PBT akan memperuntukkan sebanyak RM562 juta bagi pelaksanaan inisiatif-inisiatif pembangunan, kebajikan dan menangani koronavirus (Covid-19)," ujarnya.

Kerajaan negeri katanya, menerusi (GLC) juga membantu dalam menjayakan inisiatif pembangunan di negeri Johor.

Menurutnya, strategi kedua adalah berpandukan konsep ‘counter-cyclical measures’.

“Kerajaan negeri akan menangguhkan usaha-usaha konsolidasi fiskal pada masa akan datang sehingga ekonomi negeri kembali mengembang," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!