X

Kindly register in order to view this article
!

Agrobank catat pembiayaan RM1.3 bilion

Ronald Kiandee
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Agrobank mencatatkan jumlah pembiayaan keseluruhan sebanyak RM1.3 billion melibatkan 39,130 pengusaha mikro.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, menerusi usaha itu, Agrobank turut menawarkan pelbagai kemudahan kewangan kepada usahawan yang terlibat dalam aktiviti pertanian dan pengeluaran makanan dalam mengharungi cabaran ekonomi pasca pandemik koronavirus (Covid-19).

"Antaranya Skim Pembiayaan Mikro Kredit di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana) di mana skim ini menawarkan kemudahan pembiayaan tanpa cagaran dengan kadar faedah yang rendah iaitu sebanyak 3.5 peratus.

“Had pembiayaan adalah minimum RM1,000 dan maksimum RM50,000 bagi setiap individu dan tempoh pembiayaan adalah sehingga lima tahun atau 60 bulan.

“Sehingga 22 November 2020, Agrobank telah meluluskan lebih 8,000 permohonan dengan jumlah pembiayaan keseluruhan bernilai RM73 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (BN-Bukit Gantang) ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya turut menyediakan kemudahan lain seperti Agrobank Microenterprises Special Relief Program.

Katanya, menerusi program ini, Agrobank akan membiayai enam bulan ansuran awal untuk akaun sedia ada atau akaun baharu dan pelanggan tidak perlu membayar enam bulan pertama skim pembiayaan.

“Dengan itu, tempoh enam bulan tersebut membolehkan usahawan mikro memberi tumpuan sepenuhnya dalam memulihkan kembali aliran tunai pendapatan bagi enam bulan akan datang.

“Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2020, Agrobank telah meluluskan lebih 4,600 permohonan di bawah dana-dana sedia ada dengan jumlah pembiayaan keseluruhan bernilai RM203 juta,” katanya.

Jelasnya lagi, Agrobank juga menyediakan kemudahan pembiayaan khusus kepada usahawan muda melalui Program Agropreneur Muda.

"Skim pembiayaan di bawah program ini menyediakan pinjaman maksimum sehingga RM200,000 bagi projek pertanian," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!