618 kes tipu dilaporkan di Terengganu

Datuk Aidi (tengah) menjadi saksi Majlis Serah Terima Tugas antara Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman (kiri) kepada Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din.
Datuk Aidi (tengah) menjadi saksi Majlis Serah Terima Tugas antara Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman (kiri) kepada Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 618 kes penipuan dilaporkan di negeri ini sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu melibatkan kerugian keseluruhan lebih RM20 juta.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, daripada jumlah dilaporkan, daerah Kuala Terengganu merekodkan kes tertinggi (311 kes), diikuti Dungun (90 kes), Kemaman (61 kes), Besut (55 kes), Marang (54 kes), Hulu Terengganu (24 kes) dan Setiu (23 kes).

Jelasnya, kesemua kes dilaporkan melibatkan penipuan Macau Scam (134 kes), pembelian barang melalui laman web tidak wujud (e- Belian) (75 kes) dan pinjaman tidak wujud (105 kes).

"Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 50 kes berbanding tempoh sama tahun sebelumnya apabila mencatatkan 568 kes dilaporkan.

"Daripada jumlah kes jenayah komersial dilaporkan, kesalahan tipu mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu sebanyak 545 kes melibatkan kerugian lebih RM11 juta, pecah amanah jenayah (21 kes) melibatkan nilai kerugian lebih RM7 juta manakala jenayah siber (19 kes) dengan nilai kerugian hampir RM300,000.

"Diikuti kesalahan Ah Long (15 kes) dengan nilai kerugian hampir RM200,000, lain-lain (7 kes), VCD/DVD lucah (5 kes), wang palsu (4 kes) dengan nilai kerugian RM2,000 dan salah guna harta dengan curang serta pemalsuan masing-masing 1 kes melibatkan kerugian keseluruhan RM9,500," katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ketua Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard dan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu di Dewan Redang, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, hari ini.

Selain itu, Aidi berkata, daripada jumlah laporan diterima, polis berjaya menangkap seramai 255 suspek sepanjang tahun lalu berbanding hanya 222 suspek dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah menangkap seramai 226 suspek dipercayai terlibat dalam kesalahan tipu, empat suspek kesalahan pecah amanah jenayah, tiga suspek jenayah siber, empat suspek kesalahan wang palsu, tujuh suspek kesalahan Ah Long, 10 suspek kesalahan VCD/DVD lucah dan seorang suspek lain-lain kes," katanya.

Jelas Aidi lagi, selain penipuan e-Belian, Parcel Scam/Love Scam dan pinjaman tidak wujud, pihaknya mengesan beberapa kes penipuan lain termasuk penyamaran melalui talian telekomunikasi (18 kes), pelaburan (16 kes) dan tukar hakmilik/tanah tidak wujud dan pemalsuan dokumen (3 kes).

"Penipuan melibatkan jual beli kereta (7 kes), batu permata/pukau barang kemas (4 kes), pelancongan/haji/umrah (61 kes) dan penyamaran sebagai pegawai bank/polis (134 kes).

"Penipuan dalam bentuk tawar pekerjaan (dalam/luar negeri) tidak wujud (6 kes), minta wang bagi membebaskan orang tahanan kes narkotik (5 kes) dan tawar wang bantuan tidak wujud (1 kes)," katanya.

Aidi berkata, orang ramai dinasihatkan supaya lebih peka dan tidak mudah terpedaya dengan modus operandi sindiket penipuan ini bagi mengelak menjadi mangsa.

"Bagi kes Love Scam, taktik terbaru yang berjaya dibongkar suspek kononnya berpura-pura ingin memeluk Islam dan meminta mangsa agar dapat membimbingnya.

"Dalam masa sama, suspek kononnya hendak menghantar hadiah berharga sebagai tanda penghargaan kepada mangsa yang sudi membantunya mengajar agama Islam," katanya.

Jelas Aidi, sindiket penipuan ini biasanya mensasarkan golongan berusia 40 tahun dan ke atas sebagai mangsa utama mereka terutamanya golongan wanita.