Sindiket penyeludupan di sempadan guna sistem barter

Abdul Hamid Bador ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
Abdul Hamid Bador ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia mendedahkan modus operandi kegiatan penyeludupan antara penyeludup dari Thailand dengan sindiket tempatan adalah melalui sistem barter.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya mengesan sindiket tempatan membekalkan daun ketum dan ubat batuk, manakala kumpulan penyeludup dari Thailand pula akan membayar pula dengan pelbagai jenis dadah seperti syabu, yaba atau pil kuda dan ganja.

"Semua urusan dilakukan secara sistem barter tanpa membabitkan wang tunai. Penyeludupan daun ketum di Thailand dipercayai berpunca daripada permintaan yang tinggi di negara berkenaan.

"Di negara ini, daun ketum dijual pada harga RM30 sekilogram, namun banyak kos diperlukan untuk aktiviti penyeludupan berkenaan menyebabkan harganya meningkat di negara jiran," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata, pihaknya telah mengenal pasti tujuh sindiket tempatan yang membekalkan daun ketum dan ubat batuk kepada sindiket penyeludup Thailand di kawasan sempadan negara.

"Kita percaya ada antara tujuh kumpulan berkenaan yang terbabit dalam insiden berbalas tembakan di sebuah kebun di Padang Besar, Perlis pada hari ini," katanya.

Menurutnya, sindiket tempatan tidak bersenjata tetapi berperanan sebagai pembekal daun ketum dan ubat batuk yang ditinggalkan di lokasi terbabit sebelum ia diambil oleh penyeludup dari Thailand yang menceroboh masuk ke kawasan sempadan negara ini.

"Sindiket tempatan meletakkan barang berkenaan di kawasan sempadan terbabit, sebelum sindiket negara jiran membawa masuk ke Thailand melalui lorong tikus," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand

Kes tembak di sempadan: Polis tahan dua penyeludup

Kes tembak di sempadan: Seorang lagi anggota PGA cedera

Insiden berbalas tembakan di sempadan pertama kali berlaku

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berasingan, Abdul Hamid memaklumkan bahawa tiga lelaki yang terbabit dalam kejadian tembak menembak sehingga mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand awal pagi tadi telah ditahan ketika mendapatkan rawatan di Songkhla dan Hatyai.

"Secara keseluruhan enam suspek warga Thailand yang dipercayai penyeludup sudah ditahan dengan dua daripada mereka ditahan di Malaysia, manakala empat di negara jiran berkenaan," katanya.

Abdul Hamid berkata, pihaknya telah menerima maklumat daripada Royal Thai Police bahawa mereka telah menangkap tiga orang yang cedera ketika mendapatkan rawatan di Songkhla dan Hatyai.

"Pasukan Komando VAT69 dan PGA Batalion 3 (Senoi Praaq) berjaya menahan dua lagi suspek yang disyaki terlibat dalam insiden itu," katanya.

Terdahulu, dalam kejadian pada 3.10 pagi tadi, anggota PGA, Koperal Baharuddin Ramli, 54, maut terkena tembakan, manakala seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, pula cedera parah.

Mereka yang sedang melakukan kawalan di pos sempadan dipercayai diserang dari arah negara jiran oleh anggota sindiket yang kemudiannya melarikan diri.

Tindakan pihak berkuasa mengetatkan kawalan sempadan Malaysia-Thailand sejak Mac lalu menyebabkan kegiatan penyeludupan terutama membabitkan sindiket dadah dan ketum menjadi lumpuh.