X

Kindly register in order to view this article
!

Kes tembak di sempadan: Seorang lagi anggota PGA cedera

Seorang anggota PGA yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup, manakala seorang lagi cedera parah.
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup, manakala seorang lagi cedera parah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan hari ini memaklumkan anggota yang terkorban ialah Koperal Baharuddin Ramli, manakala rakan setugasnya, Koperal T Norihan cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis.

“Kerajaan amat memandang serius terhadap kejadian ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama kumpulan penyeludup yang melakukan aktiviti jenayah rentas sempadan," katanya dalam kenyataan itu.

Menteri itu berkata, beliau dimaklumkan siasatan awal mendapati kejadian itu bermula apabila dua anggota PGA berkenaan yang sedang melakukan tugasan risikan di kawasan kejadian diserang oleh dua kumpulan, disyaki terdiri daripada warga tempatan dan warga asing yang sedang menjalankan aktiviti jenayah penyeludupan di sempadan.

Beliau mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti penjenayah bertanggungjawab menyerang dua anggota PGA itu.

“Saya dan seluruh warga Kementerian Dalam Negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian tembak anggota PGA berkenaan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian berkenaan dan sedang dalam perjalanan ke Perlis untuk mengetahui lebih lanjut kejadian itu.

Bernama difahamkan satu sidang akhbar turut akan diadakan polis Perlis berhubung kejadian berkenaan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!