Covid-19: 199 kluster tempat kerja direkodkan

Petugas kesihatan membuat pemeriksaan terhadap pekerja Top Glove berikutan penularan wabak Covid-19 di Asrama Pekerja Top Glove Meru di Klang. - Foto Bernama
Petugas kesihatan membuat pemeriksaan terhadap pekerja Top Glove berikutan penularan wabak Covid-19 di Asrama Pekerja Top Glove Meru di Klang. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 119 kluster Covid-19 berkaitan tempat kerja termasuk 83 daripadanya berkaitan tempat kerja masih aktif sehingga hari ini.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 36 kluster sudah diisytiharkan tamat.

"Seramai 77,201 individu telah disaring dan 12,079 daripadanya disahkan positif Covid-19 dengan melibatkan 4,398 rakyat tempatan dan bakinya 7,681 warga asing," katanya.

Menurutnya, Teratai ialah kluster berkaitan tempat kerja tertinggi di negara ini dan ia yang mula dilaporkan 7 November lalu apabila 4,036 kes positif daripada 5,777 individu yang disaring.

"Kluster Tapak Bina Damanlela pula merekodkan 1,539 kes positif daripada 3,496 yang disaring, Kluster Cergas mencatatkan 1,337 kes positif daripada 5,198 yang disaring.

"Sebanyak 1,101 kes direkodkan daripada Kluster Hentian manakala Kluster Kaya pula didapati 900 kes positif," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menyeru majikan supaya dapat memainkan peranan lebih besar untuk bersama-sama menangani penularan Covid-19.

"Bagi industri yang banyak menggunakan tenaga kerja warga asing, majikan bertanggungjawab menyediakan tempat kediaman yang kondusif serta memastikan pekerja mereka sentiasa mengamalkan langkah pencegahan.

Artikel Berkaitan:

"Seperti kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing," katanya.