Covid 19: 603 kes baharu di Selangor

Enam daerah di Selangor masih diklasifikasikan sebagai zon merah dengan Klang mencatat jumlah kumulatif tertinggi iaitu sebanyak 2,015 kes. - Foto FB STFC
Enam daerah di Selangor masih diklasifikasikan sebagai zon merah dengan Klang mencatat jumlah kumulatif tertinggi iaitu sebanyak 2,015 kes. - Foto FB STFC
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor mencatat 603 kes positif baharu koronavirus (Covid-19) setakat jam 12 tengah hari semalam.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi info grafik dimuat naik di Facebooknya memaklumkan, angka itu menjadikan jumlah keseluruhan positif Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 9,752 kes.

Menurut kenyataan itu, 602 daripada kes baharu dilaporkan semalam adalah jangkitan tempatan manakala satu lagi jangkitan luar negara.

"Punca kes baharu pada hari ini (semalam) adalah 536 kluster sedia ada (504 daripada Kluster Teratai).

"Lain-lain punca adalah daripada saringan kontak rapat (27 kes), lain-lain saringan Covid-19 (39 kes) dan satu merupakan kes import," menurut kenyataan itu.

STFC memaklumkan, daripada jumlah keseluruhan pesakit yang dijangkiti, 7,091 kes dilaporkan telah sembuh dan dibenarkan discaj dari hospital.

Jumlah kematian akibat dijangkiti virus terbabit di negeri ini pula kekal 27 kes sehingga semalam.

Setakat jam 12 tengah hari semalam, enam daerah masing-masing Klang, Hulu Langat, Petaling, Sepang, Kuala Langat dan Gombak masih ditakrif sebagai zon merah.

Artikel Berkaitan:

Daerah Kuala Selangor direkod sebagai zon jingga, Hulu Selangor ditakrif sebagai zon kuning manakala Sabak Bernam masih kekal sebagai zon hijau.

"Antara 9 November hingga semalam, kumulatif kes tertinggi kini direkod di daerah Klang iaitu 2,015 kes (Mukim Kapar merekod 1,330 kes manakala Klang sebanyak 685 kes).

"Lima daerah lain yang dilabel sebagai zon merah iaitu Hulu Langat mencatat jumlah keseluruhan sebanyak 699 kes; Petaling (358 kes); Sepang (218 kes); Kuala Langat (153 kes) dan Gombak (82 kes)," kata kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, STFC turut menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan melakukan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan membasuh tangan dengan kerap bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negeri ini.