Arak pencetus masalah sosial

Keputusan mengawal penjualan minuman keras itu juga dapat membantu kerajaan membentuk rakyat Malaysia yang sihat.
Keputusan mengawal penjualan minuman keras itu juga dapat membantu kerajaan membentuk rakyat Malaysia yang sihat.
A
A
A

SHAH ALAM - Sejak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memutuskan untuk tidak membenarkan kedai runcit dan kedai serbaneka menjual arak mulai Oktober 2021, pelbagai pihak menyuarakan sokongan agar ia diperluaskan ke seluruh negara.

Majoriti menyatakan keinginan agar larangan tersebut dilaksanakan di setiap negeri demi mengekang budaya negatif dan impak buruk kepada masyarakat.

Ketua Pembangkang DUN Selangor, Rizam Ismail berkata, cadangan itu amat baik untuk dilaksanakan memandangkan negeri tersebut pernah mempunyai beberapa kes akibat daripada pengambilan minuman keras.

“Selangor mempunyai kes melibatkan pemandu mabuk, jadi itu salah satu cara bagi mengekang kejadian sebegini. Larangan seperti itu wajar dilaksanakan bagi mengawal penjualan arak,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Katanya, dalam soal itu tidak timbul isu politik atau melibatkan kepentingan mana-mana pihak.

“Ia melibatkan kemaslahatan semua pihak dan kesan daripada pengambilan arak amatlah buruk bukan sahaja kepada individu malahan kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Di KEDAH, Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, Datuk Najmi Ahmad berkata, pendekatan tidak membenarkan jualan arak di dua jenis premis berkenaan wajar disokong.

Katanya, keputusan DBKL itu disifatkan usaha baik kerana bertepatan dengan aspek agama dan sosial serta harus dicontohi.

Artikel Berkaitan:

“Kita kena lihat dari dua sudut, yang pertamanya agama mana arak sememangnya diharamkan disebabkan ia mampu merosakkan akhlak seseorang individu tersebut.

“Kedua, sudut sosial kerana arak dilihat mampu menjejaskan keharmonian, ketenteraman dan sebagainya.

“Contohnya kita dapati ada yang memandu dalam keadaan mabuk hingga mengakibatkan kemalangan,” katanya.

Dalam pada itu, Najmi berkata, pihaknya turut berharap majikan lebih bertimbang rasa terhadap pekerja kedai runcit dan kedai serbaneka mereka yang terpaksa menjual arak.

Di KELANTAN, Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata, perkara tersebut seharusnya disambut baik seluruh masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Apa pun yang terbaik untuk rakyat, kita mesti sokong. Lagipun pengawalan penjualan arak ini bukan perkara baharu bagi Kelantan.

“Kita mesti yakin, setiap perubahan itu akan beri satu hikmah terutamanya untuk menjaga kemakmuran masyarakat pelbagai kaum,” katanya.

Wan Salim
Wan Salim

Di PULAU PINANG, Muftinya, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, langkah itu juga sepatutnya diikuti oleh semua negeri demi memelihara kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang agama, keturunan dan fahaman politik.

Akuinya, walaupun agama lain tidak melarang penganutnya daripada meminum arak, namun mereka dinasihatkan supaya tidak meminumnya secara berlebihan sehingga memudaratkan.

“Agama Islam amat jelas dan tegas melarang umatnya daripada meminum arak melalui ayat al-Quran (ayat 90 dan 91 surah al-Baqarah).

“Oleh itu, penjualan arak wajar dilarang memandangkan pelbagai kesan negatif daripada pengambilannya terhadap individu, masyarakat dan negara.

“Banyak bukti yang menunjukkan bahaya arak ke atas mereka yang mengambilnya, sama ada dalam jangka pendek atau jangka panjang,” katanya.

Di PERAK, Timbalan Muftinya, Datuk Zamri Hashim berkata, langkah mengawal penjualan arak yang diumumkan itu seharusnya perlu disokong seiring langkah kerajaan menaikkan hukuman kepada pemandu-pemandu mabuk.

Katanya, keputusan mengawal penjualan minuman keras itu juga dapat membantu kerajaan membentuk rakyat Malaysia yang sihat.

“Kesan negatif arak kepada kesihatan individu, keluarga, masyarakat dan negara jauh lebih besar daripada sumbangan cukai arak kepada pendapatan negara,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan keputusan DBKL untuk tidak membenarkan kedai runcit menjual arak mulai Oktober 2021.

Jelas Annuar, DBKL turut memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras antaranya menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober 2021.

Kelmarin, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary membayangkan lebih banyak negeri yang akan mengikut jejak langkah Wilayah Persekutuan untuk tidak membenarkan penjualan arak di kedai runcit mulai tahun 2021.

Ahmad Marzuk menyifatkan tindakan yang dilakukan Wilayah Persekutuan itu bertepatan dengan tuntutan agama dan masyarakat itu sendiri.

Gambar hiasan
Gambar hiasan


ANTARA NEGARA YANG MELARANG PENJUALAN DAN MENGHIDANG ARAK


Perancis

Pengharaman hidangan dan penghantaran minuman keras daripada jam 10 malam hingga 6 pagi.

Rakyat dilarang minum minuman keras di tempat awam.

Rusia

Iklan minuman keras di media cetak, televisyen dan internet diharamkan.

Sepanyol

Kelab malam dan acara awam yang menghidangkan minuman keras diharamkan.

Afghanistan

Rakyat beragama Islam diharamkan untuk meminum, menjual atau menghidangkan minuman keras.

Bangladesh

Rakyat beragama Islam diharamkan untuk meminum, menjual atau menghidangkan minuman keras, kecuali untuk tujuan perubatan.

India

Beberapa negeri iaitu Gujarat, Manipur, Mizoram, Nagaland dan Lakshadweep mengharamkan berkaitan arak.

Emiriah Arab Bersatu (UAE)

Hanya Sharjah yang mengalami sekatan penjualan minuman keras.