'Hanya benarkan pelanggan tetap sahaja masuk'

Polis menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur malam tadi.
Polis menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur malam tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hanya buka ketika ada permintaan dan membenarkan pelanggan yang dipercayai sahaja untuk masuk.

Namun, taktik sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, di sini yang dikesan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) itu terbongkar selepas diserbu polis pada jam 11 malam tadi, hasil maklumat dan risikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan Ops Noda sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur dan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju itu bertindak menangkap 27 individu termasuk 15 wanita warga asing disyaki gadis pelayan pelanggan (GRO).

"Semakan dokumen juga mendapati 10 lelaki terdiri daripada warga China, seorang lelaki Bangladesh serta seorang lelaki tempatan yang menjadi pelanggan selain penyelia serta pekerja premis," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, selain itu, dipercayai wanita disyaki GRO membabitkan tujuh warga China, Vietnam (6), Korea (1) dan Thailand (1) itu dibawa oleh pelanggan dari luar untuk berhibur.

Tambahnya, pihaknya percaya pusat hiburan terbabit beroperasi secara sembunyi ketika PKPB dan hanya beroperasi apabila ada permintaan daripada pelanggan yang dipercayai sahaja.

Dalam pada itu, operasi itu turut mengeluarkan kompaun terhadap 66 pelanggan warga tempatan termasuk 22 wanita.

Katanya lagi, polis kemudian bertindak membuat rampasan beberapa barang antaranya set audio, minuman keras, resit jualan serta wang tunai.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, kes disiasat di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) (2020), Seksyen 32 Akta Eksais, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 4(1) (b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (AHWP) 1992.