X

Kindly register in order to view this article
!

Tun M didakwa sokong Muhiyiddin, Azmin secara senyap: AMK

T Subbramaniam
A
A

SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa serangan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sokongan ‘secara senyap’ kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Naib ketuanya, T Subbramaniam mendakwa, umum percaya Ahli Parlimen Langkawi itu merupakan ‘mastermind’ dalam ‘Langkah Sheraton’ untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selain menggagalkan peralihan kuasa kepada Anwar seperti dijanjikan.

Katanya, Dr Mahathir dilihat membelakangkan keputusan parti komponen selepas dilantik menjadi Perdana Menteri selain memberi restu kepada Azmin serta konco-konconya untuk menggagalkan usaha peralihan kuasa itu.

“Coretan Tun yang menyerang Anwar adalah satu cubaan untuk melaga, memecahbelahkan PH dan menyokong Muhyiddin, Azmin kekal berkuasa secara senyap.

“Kita semua tahu bahawa beliau (Tun) tidak pernah ikhlas semasa PH menjadi kerajaan. Beliau yang menyusun segala langkah untuk Muhyiddin, Azmin dan Hamzah (Zainuddin) menyusun langkah Sheraton. Dendam kesumat beliau terhadap Datuk Seri Najib Razak dan Anwar tidak pernah berubah.

“Baling batu dan sembunyikan tangan, ini politik Mahathir sekarang bagi memastikan Najib dan Anwar Ibrahim sekali gus hilang dari politik negara tapi malangnya kita bukan berada dalam era 90-an lagi untuk percaya segala lakonan Mahathir. Rakyat sudah lama muak dengan perangainya,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau turut mendakwa Dr Mahathir mempunyai agenda jahat menerusi rakaman audio yang bocor beberapa bulan lalu semasa mesyuarat PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dalam pada itu, menyentuh soal majoriti yang dibangkitkan Dr Mahathir, Subbramaniam berkata, memandangkan Anwar memiliki 92 sokongan berbanding 66 yang dimiliki beliau, Subbramaniam berkata, bekas Pengerusi Bersatu itu seharusnya mengalah, bukannya Anwar.

“Mahathir sendiri mengesahkan bahawa beliau hanya dapat sokongan 66 ahli Parlimen manakala Anwar mendapat 92 sokongan. Siapa yang harus mengalah dalam situasi sebegini?” soalnya.

Justeru katanya, serangan terbuka Dr Mahathir terhadap Anwar menunjukkan Ahli Parlimen Port Dickson itu berjaya meraih sokongan.

“Perubahan bakal berlaku dalam masa terdekat. Ini masanya untuk PH dan yang lain berdiri teguh bersama Anwar,” tegasnya.

Hari ini, Dr Mahathir dalam satu kenyataan berkata, Anwar masih gagal menjawat tugas sebagai perdana menteri walaupun sebelum ini mendakwa mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!