X

Kindly register in order to view this article
!

Inisiatif KPDNHEP hadapi banjir, musim tengkujuh

Rosol (tengah) dan pegawai kanan KPDNHEP dari Putrajaya dan Johor melakukan pemeriksaan harga dan bahan keperluan harian di Pasar Awam Batu Pahat, Batu Pahat, hari ini.
A
A

BATU PAHAT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil beberapa inisiatif memastikan bekalan barangan keperluan asas mencukupi bagi menghadapi musim tengkujuh di seluruh negara Disember depan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, inisiatif itu sebagai persediaan kepada pemborong dan peruncit menjual pada harga munasabah.

Beliau memberitahu, KPDNHEP juga bersedia dengan pelan kontingensi untuk kawal selia bekalan dalam musim banjir antaranya mengaktifkan pusat arahan penguatkuasaan di negeri yang terlibat.

"Ini termasuk mempergiatkan pemeriksaan di setiap rantaian pengedaran, membenarkan penambahan had simpanan barang kawalan dan keperluan asas sehingga 30 peratus bagi pemborong dan peruncit di daerah terpilih.

"Begitu juga libat urus bersama-sama industri pengeluar, pengimport (barang kawalan dan keperluan asas) dan agensi kerajaan yang mengurus bencana alam," katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau bekalan telur ayam di Syarikat Teo Seng Feedmill Sdn Bhd di sini hari ini.

Selain lawatan ke syarikat itu yang merupakan pengilang telur ayam, Rosol turut melakukan lawatan kerja ke Pasar Awam Batu Pahat dan pemborong barangan runcit, Syarikat Tan Bee Lee Sdn Bhd.

Rosol berkata, KPDNHEP juga akan menggerakkan program Food Bank untuk membantu kumpulan sasar menerima bantuan makanan.

Beliau turut menasihatkan peniaga supaya mematuhi undang-undang dan tidak mengambil kesempatan sepanjang musim tengkujuh.

Bagi negeri ini katanya, pengguna boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan salah laku peniaga menerusi talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC), Call centre 1800 886 800 dan Enforcement Command Centre (ECC) 03–8882 6245/6088.

Aduan melalui Whatsapp KPDNHEP ialah 019–279 4317 atau emel [email protected], aplikasi telefon pintar Ez ADU dan lapor ke Pejabat Cawangan Daerah KPDNHEP seluruh negeri.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!