Bekalan air di Perlis mencukupi - MB

Paras bekalan air di Empangan Timah Tasoh mencukupi bagi menampung keperluan semasa rakyat.
Paras bekalan air di Empangan Timah Tasoh mencukupi bagi menampung keperluan semasa rakyat.
A
A
A

KANGAR - Kerajaan negeri memberi jaminan bekalan air di negeri ini mencukupi walaupun cuaca panas melanda seluruh negara ketika ini.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, paras bekalan air di Empangan Timah Tasoh mencukupi bagi menampung keperluan semasa rakyat.

"Saya dimaklumkan bekalan air di Empangan Timah Tasoh boleh menampung keperluan untuk jangka masa dua bulan lagi jika cuaca panas terus berlarutan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Rakyat Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis ke-80 di Dataran Dato' Sheikh Ahmad pada Rabu.

Antara sukan rakyat yang dianjurkan sempena program itu ialah pertandingan sepak regu, pertandingan tendangan penalti dan lain-lain.

Selain itu, Mohd Shukri menasihati orang ramai agar meminum air secukupnya dan tidak terlalu lama terdedah dengan cuaca panas yang boleh menjejaskan kesihatan.

"Saya ingin berpesan kepada pesawah agar tidak berada terlalu lama di bawah cuaca panas dan begitu juga dengan seluruh rakyat negeri ini," katanya.

Ditanya pemberita tindakan yang bakal diambil oleh kerajaan negeri jika pusat mengumumkan darurat cuaca panas, beliau berkata kerajaan negeri menerusi Syarikat Air Perlis (SAP) sedang melakukan kajian keperluan untuk memasang telaga tiub untuk keperluan rakyat.

"Kita akan pasang telaga tiub berdekatan dengan jalan raya bagi memudahkan orang ramai dapatkan bekalan air dan jumlah telaga tiub serta lokasi masih dalam peringkat kajian," katanya. - Bernama