Tujuh kluster Covid-19 dikesan aktif di Johor

R Vidyananthan
R Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Terdapat tujuh kluster yang dikesan aktif di negeri ini sehingga semalam menyumbang kepada kes terbaharu koronavirus (Covid-19) di Johor.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, kluster itu melibatkan Kluster Kiambang, Kluster Parit Kassan, Kluster Jeri, Kluster Meldrum, Kluster Bayu, Kluster Kempas dan Kluster Padang.

"Kluster Kiambang merupakan yang paling terbaharu di Johor. Kluster ini melibatkan daerah Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

"Kes indeks kluster ini yang dikesan positif Covid-19 adalah hasil saringan individu bergejala pada 16 November lalu. Susulan itu, pengesanan dan saringan kontak dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah terlibat.

"Sehingga semalam 131 individu telah disaring di mana sembilan kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini. Semua kes telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Vidyananthan berkata, kluster baharu lain yang dilaporkan sejak kebelakangan ini adalah disebabkan sikap segelintir masyarakat mula tidak peka mengenai keperluan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan pandemik berkenaan.

Sehingga semalam, katanya, terdapat sebanyak 15 kes baharu dan satu kematian dilaporkan di Johor iaitu 11 kes daripada kluster sedia ada termasuk lapan kes Kluster Kiambang, manakala tiga kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19 dan satu kes daripada kes saringan.

"Ini menjadikan kumulatif kes Covid-19 di negeri ini yang dilaporkan adalah sebanyak 1,034 kes dengan 22 kematian. Sebanyak 919 kes telah pulih iaitu 88.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes dengan 93 kes Covid-19 yang aktif telah pun diasingkan dan diberi rawatan di hospital," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi kemasukan dari Singapura ke Johor sehingga semalam, seramai 2,354 pelawat menggunakan skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan 13,810 pelawat menggunakan skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).

Jelas beliau, jumlah kes positif Covid-19 yang dikesan dalam kalangan pengguna skim berkenaan kekal sebanyak tiga kes.